"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan selesa dirawat di Istana Mahkota

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra menjalani rawatan seperti biasa di Istana Mahkota selepas semalam dibenarkan pulang setelah lima hari berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Tuanku Ismail Petra dibawa pulang ke Istana Mahkota semalam, 9 Mei, 2010 setelah lima hari menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia. – Foto Bernama
Kekanda sulong baginda, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra memberitahu The Malaysian Insider lewat petang ini, “keceriaan tuanku amat ketara berbanding semasa berada di hospital.”

“Sampai di Istana Mahkota semalam kita boleh tengok betapa reaksinya, suka sangat, minta aiskrim, minta apa yang dia (tuanku) hendak makan,” katanya.

Tuanku Sultan dibawa pulang ke Istana Mahkota petang semalam selepas mendapat perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Menurut Tengku Merjan, baginda kini dirawat oleh doktor dan jururawat dari Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.

“Syukurlah, saya tengok tuanku memang lebih selesa berada dan dirawat di sini (Istana Mahkota).

“Hari ini tekanan darah tinggi pun sudah banyak turun, tidurnya juga tidak ada gangguan,” jelasnya.

Sultan Kelantan dimasukkan ke HUSM Selasa lalu setelah rawatan susulannya di Singapura dipertikaikan.

Sementara itu, ditanya kemungkinan Sultan Kelantan akan dibawa semula ke Singapura atau mana-mana hospital sama ada dalam dan luar Negara bagi meneruskan rawatan susulan, Tengku Merjan tidak dapat memastikan tindakan selepas daripada ini.

“Tiada sebarang perancangan untuk tindakan itu buat masa ini... saya kira biarlah tuanku terus dirawat di sini (Istana Mahkota),” katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: