"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kemuka undi tidak percaya kepada Zambry

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 15 Jun:
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Perak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir disaran mengusulkan undi tidak percaya terhadap Zambry.

Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin yang juga bekas Menteri Besar Perak berkata, Pakatan Rakyat (PR) Perak mengalu-alukan tindakan mereka meninggalkan Umno/BN dan menyertai PR negeri itu.

"Pakatan Rakyat Perak alu-alukan Adun BN yang tidak puas hati dengan Umno/BN untuk meninggalkan dan mengadakan usul undi tidak percaya terhadap Zambry bagi membolehkan pembubaran Dun," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum itu, Nizar yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang mendedahkan memang terdapat beberapa Adun BN yang datang bertemu beliau dan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Zambry dan menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti itu.

"Saya didatangi pemimpin Umno bahagian termasuk beberapa Adun mereka yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Umno/BN di Perak dan ingin meninggalkan parti itu," katanya.

PR Perak bagaimanapun tegasnya, mahu Adun-Adun yang tidak berpuas hati itu menggunakan saluran yang betul dan mengikut undang-undang, tidak boleh dengan cara lompat parti.

"Kalau betul-betul tak puas hati, nyatakan di Dun dan gunakan saluran yang betul dengan mengusulkan undi tidak percaya. Kita mahu hak rakyat diberikan semula dengan membubarkan Dun.

"PR Perak akan pertimbangkan jika mereka ingin menyertai kita tapi bukan dengan cara melompat parti. Kita mahu kedudukan PR terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak," katanya.

Beliau juga memberitahu, Adun-Adun yang tidak berpuas hati itu semakin marah dengan Umno/BN kebelakangan ini apabila timbul isu APCO dan pemberian lesen judi sukan.

Dalam pada itu, Nizar turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa PR Perak campur tangan dalam urusan pentadbiran BN negeri itu.

"Saya menafikan khabar angin bahawa PR Perak campur tangan dalam urusan BN Perak," katanya.

Turut bersama dalam sidang media itu ialah Ahli Parlimen Gombak, Mohd Azmin Ali, Ahli Parlimen Ipoh Barat, Kulasegaran, Adun Setiawan, Ngeh Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas, Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi PKR Perak, Mustafa Kamil Ayub.

Tiada ulasan: