Wartawan Kita
KOTA BHARU, 19 Jun: Sempena kedatangan Ramadhan 1431, Kementerian Pelancongan Malaysia diwar-warkan akan menganjurkan suatu pesta yang dinamakan Festival Ramadhan pada tahun ini bertempat di I-City Shah Alam, sesuatu yang melucukan.
Sebelum ini lokasi sama diadakan festival sempena sambutan Hari Natal.
Antara yang disebut tujuan Festival Ramadhan yang bakal dianjurkan oleh kementerian yang diterajui oleh Datuk Seri Ng Yen Yen ialah untuk menarik pelancong daripada Timur Tengah.
Bagi Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelanconagan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, Nasruddin Mahmud Muhaidin, tujuan Ng Yen Yen untuk menarik pelancong Arab menyertai festival itu juga suatu yang agak melucukan.
Di Kelantan, katanya secara khusus di Kota Bharu semenjak Kelantan diperintah oleh PAS, program yang dinamakan Ihya Ramadhan di Negeri Serambi Mekah telah dilaksanakan selama hampir 20 tahun yang lalu.
Katanya, bermula dengan khemah terawih di tengah-tengah pusat bandar di Parit Dalam, hari ini ia dijadikan sebuah perkampungan di perkarangan Stadium Sultan Muhamad ke IV yang dinamakan Qaryah Ramadhan.
Jelasnya, qaryah dalam bahasa Arab bermaksud kampung di mana Qaryah Ramadahan mula diperkenalkan pada tahun 2007.
“Adakah ini satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan yang ingin ditiru oleh kerajaan Pusat selepas mereka meniru cuti Sabtu, cuti bersalin, takaful warga emas dan sistem gadaian Islam dan lain-lain,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Katanya, Qaryah Ramadhan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri padat dengan aktiviti-aktiviti yang meningkatkan amalan dan ibadat rakyat Kelantan.
Antarany, kata beliau majlis iftor (berbuka) secara terbuka yang setiap hari anggaran ratusan orang yang turut serta yang mana makanan disediakan oleh pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dengan penajaan bandan korporat serta sumbangan orang ramai.
“Solat terawih pula diimami oleh imam yang didatngkan dari Mesir. Imam ini juga bertindak sebagai pembimbing untuk memperbetulkan bacaan Al-Quran selepas selesai solat terawih. Pada sebelah dinihari pula imam ini akan mengetuai solat qiamullail,” ujarnya.
Selain itu, katanya pelbagai aktiviti lain diadakan sepanjang bulan Ramadhan seperti forum atau ceramah sempena Nuzul Quran dan Badar Qubra.
Tambahnya lagi, pada sebelah petang para belia dan remaja dihidangkan dengan slot-slot intraktif dan talkshow yang memberi maklumat dan aktiviti bermanfaat kepada mereka.
Di samping itu, ujarnya lebih menarik sepanjang malam hingga ke subuh pelajar-pelajar maahad tahfiz mengadakan relay Al Quran yang dibaca secara berterusan.
Pihak kerajaan juga, tambahnya melalui syarikat kaitan dengan kerajaan (GLC) mengambil peluang menyampaikan zakat dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Pendeknya, jelas beliau pelbagai aktiviti keagamaan dilangsungkan di Qaryah Ramadhan dalam usaha untuk menghidupkan (ihya’) Ramadhan di Kelantan.
Ini, katanya sering diwar-warkan oleh Datuk Takiyuddin Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, “Kalaupun kita tidak dapat merasai suasana Ramadhan di Mekah, paling kurang kita merasai kemeriahan Ramadhan di Serambi Mekah”.
Menurutnya, Fesitival Ramadhan telah mendapat bantahan daripada bebrapa pertubahan bukan kerajaan jika ia dianjur atas sifat sebuah pesta semata-mata dengan tidak mengambil kira tujuan ibadah dan peningkatan amalan di bulan mulia ini.
Beliau berkata, masyarakat Arab yang begitu teruja dengan suasana Ramadhan di negara mereka tidak akan melancong ke luar negara semata-mata untuk menyertai suatu festival yang sekadar untuk tunjukan bahawa negara ini kaya dengan pelbagai makanan melalui jualan bazaar Ramadhan.
“Adakah orang Arab berselera untuk menikmati bubur lambuk kita,” ujarnya sinis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan