RAUB: Seorang peniaga berasal dari Kampung Berchang, Lipis menfailkan saman di Mahkamah Sesyen Raub terhadap Ketua Polis Negara (KPN) kerana insiden tembakan rambang seorang anggota polis pada 1 Oktober 2008 menyebabkannya trauma sehingga kini.
Plaintif pertama, Hasbullah Ludin, 40, antara yang menjadi sasaran tembakan rambang anggota polis mengakibatkan kereta Proton Wira yang dipandunya mengalami kerosakan termasuk pecah cermin belakang dan tayar belakang.
Plaintif kedua, Muttacohiri Ludin, 38, adik Hasbullah adalah pemilik keereta itu turut menuntut ganti rugi.
Peguamcara plaintif, Mohd Fadzli Mohd Ramli dari Tetuan Mohd Fadzli & Co berkata, plaintif menamakan KPN sebagai defendan yang bertanggungjawab terhadap tindakan anggota polis yang bertugas di negara ini.
Menurutnya, plaintif menuntut ganti rugi khas iaitu kos membaiki kenderaan dan laporan polis sebanyak RM1,464.
“Kami juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi tauladan, ganti rugi melampau, kos dan lain-lain yang difikirkan sesuai berdasarkan taksiran mahkamah.
“Tuntutan ini untuk mendapatkan pembelaan wajar dengan kejadian yang hampir meragut nyawanya,” katanya.
Mohd Fadzli berkata, anak guamnya menunggu hampir dua tahun untuk mendapat penjelasan dan tindakan dikenakan terhadap anggota polis terbabit.
Menurutnya, namun sepanjang tempoh itu plaintif tidak menerima maklum balas daripada polis walaupun membuat laporan sebaik insiden itu berlaku.
“Sepatutnya amaran diberi terlebih dulu sebelum melepaskan tembakan, tambahan pula plaintif hanya seorang peniaga yang tidak mempunyai rekod jenayah.
“Plaintif juga tidak menerima permohonan maaf daripada PDRM yang memberi kesan dalam kehidupannya,” katanya.
Pada 1 Oktober 2008 kira-kira jam 7.30 pagi, plaintif memandu kereta adiknya dari Padang Tengku ke Berchang, Lipis.
Ketika melalui Kampung Selindang, seorang anggota polis yang berada di bahu jalan melepaskan tembakan melulu tanpa sebarang amaran dan sebab yang sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan