"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nazri: Perkasa, Gertak akan lenyap tanpa Dr M

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Datuk Seri Nazri Aziz percaya Perkasa dan Gertak, yang kedua-dua program utama yang berkontroversi dirasmikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, akan “lenyap” tanpa sokongan bekas perdana menteri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa membela hak orang-orang Melayu kelihatan menonjol sebab bekas perdana menteri memperakui pendirian mereka menentang pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Pandangan keras ini merupakan yang kedua datang daripada pemimpin Umno dalam tempoh dua minggu ini.

Dua minggu lalu bekas menteri Kabinet dan bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz juga melahirkan pandangan yang hampir serupa mengecam Perkasa.

Rafidah dan Nazri merupakan ahli Parlimen dari Perak.

“Beliau (Dr Mahathir) adalah ikon mereka. Kumpulan macam Perkasa, Gertak akan mati tanpa kehadiran Dr Mahathir,” kata Nazri kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual khas minggu ini.

Nazri menekankan, sebahagian kecil pengikut kedua-dua kumpulan ini mendakwa Dr Mahathir mempunyai sokongan kumpulan minoriti orang Melayu.

“(Tetapi) masih ada ramai orang Melayu yang percaya dengan apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak (selaku perdana menteri dan presiden Umno). Kumpulan-kumpulan macam ini hanya elemen pinggiran (dalam politik negara),” kata Nazri yang ditanya mengenai respons kepada program Gertak di Kuala Terengganu Isnin lalu.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said turut hadir pada majlis yang disertai kira-kira 1,000 orang.

Bagaimanapun Nazri mempertahankan kehadiran Ahmad atas alasan ia bertujuan menghormati Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri dan presiden Umno selama 22 tahun.

“Orang Melayu lazimnya akan menghormati pemimpin-pemimpin lama mereka... satu-satunya yang tidak pergi ialah saya,” kata Nazri dengan berseloroh.

Nazri dilihat sebagai antara pemimpin Umno yang ‘bertegang leher’ dengan Dr Mahathir dalam banyak isu termasuk ketika beliau mengecam kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Mahathir merasmikan perhimpunan tahunan pertama Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan Melayu terbesar di negara ini, Mac lalu.

Awal minggu ini, beliau berucap pada program kontroversi “Bangkit Melayu”, yang sepatutnya diadakan 13 Mei lalu bagi mengembalikan semangat orang Melayu dengan mempelajari peristiwa 13 Mei 1969.

Pada majlis itu beliau memuji kerajaan pusat telah membetulkan kesilapan dalam Model Baru Ekonomi menerusi Rancangan Malaysia Ke-10.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: