Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz sebagai membantah hasrat kerajaan untuk menarik balik biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)kepada pelajar ijazah di luar negara mulai tahun depan.
Presidennya, Jais Abdul Halim dalam memorandumnya turut meminta Ketua Pembangkang, Datuk seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan supaya meningkatkan biasiswa JPA di kalangan masyarakat Melayu.
Menurut Jais, memorandum itu akan diserah kepada semua ahli parlimen berbangsa Melayu.
Dalam tuntutannya, GPMS meminta Anwar mendesak kerajaan supaya meneruskan pembiayaan biasiswa dan menambah kuota biasiswa kepada pelajar Melayu.
"GPMS mendesak agar pemberian biasiswa JPA untuk pengajian peringkat ijazah di luar negara mestilah diteruskan oleh pihak kerajaan bagi memastikan pelajar-pelajar mendapat manfaat dari segi kualiti pendidikan di seluruh negara," katanya.
GPMS juga mendesak supaya sistem kuota itu meletakkan sekurang-kurangnya 66 peratus keistimewaan kepada pelajar Melayu atau Bumiputera.
"GPMS menuntut supaya kerajaan mengkali semula cadangan tersebut kerana cadangan untuk menghentikan ini tidak relevan dan tidak bersesuaian dengan polisi dasar dan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju," katanya.
Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan penghantaran pelajar cemerlang ke luar negara melalui tajaan biasiswa JPA atas alasan ia memberi kesan buruk kepada negara.
Menteri Di Jabatan Perdana, Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini berkata kerajaan akan menghentikan tajaan biasiswa JPA kepada 1,500 pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara mulai tahun depan.
Nazri dilapor berkata negara harus mengehad penghantaran pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana ia hanya menguntungkan universiti luar negara.
"Sebenarnya kalau kita menghantar, kalau GPMS menyebut di luar negara lebih baik, sebenarnya kalau kita hantar di luar negara, kita bantu memperkukuhkan universiti luar negara daripada dalam negara.
Bagaimanapun, pandangan Nazri itu dibantah Pemuda Umno.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan supaya memberi keutamaan kepada biasiswa JPA daripada berbelanja untuk projek-projek seperti bangunan Parlimen baru di Putrajaya.
“Saya sedia duduk dalam Parlimen sedia ada jika ada kebocoran siling sekali-sekala daripada melihat wang besar dibelanjakan untuk keselesaaan Ahli Parlimen sedangkan ia boleh digunakan untukmasa hadapan lebih cerah untuk negara dan anak-anak kita," kata Khairy.
Namun, Nazri tetap berpendapat kerajaan membuat keputusan tepat untuk membeku pemberian biasiswa untuk pelajar mendapatkan ijazah di luar negara.
"Dalam keadaan yang tidak mengizinkan kita terpaksa mengetatkan tali pinggang kita kerana sudah tentu dalam keadaan yang kita tidak mampu untuk membuat sesuatu yang memerlukan belanja besar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan