"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mapim anjur Misi Konvoi Ramadhan di Gaza

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 15 Jun:
Selepas menghantar seorang wakil menyertai misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menganjurkan Misi Konvoi Ramadhan di Gaza.

Menurut setiausahanya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, "Ramadhan March For Freedom" ini akan menghantar delegasi Malaysia bersama sejumlah 300 hingga 500 aktivis keamanan antarabangsa untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza melalui sempadan Rafah di Mesir.

"Misi ini adalah inisiatif rakyat Malaysia dan Mapim akan menerajui misi ini sebagai suatu usaha penggemblengan seluruh masyarakat Malaysia dan dunia untuk membebaskan Gaza sebagai sebuah wilayah Palestin yang berdaulat," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Mapim sedang membuat persiapan untuk memastikan 300 hingga 500 aktivis dunia akan bersama dalam konvoi Ramadhan di Gaza ini bagi berada di Gaza pada bulan Ramadhan ini.

"Mapim melancarkan misi ini dengan harapan seluruh pihak di Malaysia sama ada dari Kerajaan Pusat mahupun negeri termasuk seluruh parti politik dan NGO di Malaysia turut membantu menjayakan inisiatif besar yang akan diketuai Malaysia sendiri," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih ramai aktivis NGO, ahli politik, ahli profesional, petugas media dan jurnalis, pemimpin-pemimpin agama dan tokoh-tokoh dunia untuk mendesak sempadan Rafah dibuka secara berkekalan oleh Kerajaan Mesir.

"Kami difahamkan Kerajaan Mesir sudah membuka sempadan Rafah, namun kenyataannya ialah pembukaan Rafah tidak dijamin sebagai suatu keputusan yang berkekalan.

"Mapim akan melancarkan lobi antarabangsa untuk mendesak Mesir mengubah polisinya bagi membolehkan rakyat Palestin di Gaza mendapat akses kepada dunia seperti sebelumnya," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria yang turut bersama dalam sidang media itu menyokong penuh usaha Mapim itu dan berpandangan isu Gaza merentasi ideologi politik, bangsa dan juga agama.

"Isu Gaza ini merentasi ideologi politik. Kita ketepikan soal politik. Bukan sahaja orang Islam yang memperjuangkan isu ini malah orang bukan Islam turut menyokong kita. Saya ucapkan tahniah kepada Mapim yang konsisten membawa isu kemanusiaan ini," katanya.

Turut bersama dalam sidang media tersebut, Ahli Parlimen Jerlun dari BN, Mukhriz Mahathir, ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, aktivis Mapim, Mustafa Mansur dan beberapa aktivis Mapim yang lain.

Tiada ulasan: