Rancangan Malaysia Ke- 10 tidak mengemukakan rancangan ampuh untuk menangani perbelanjaan pemerintah yang melebihi keluaran dalam negara.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perbelanjaan kerajaan secara konsisten melebihi hasil negara, bahkan berlipat sekali ganda dalam masa sesingkat enam tahun sahaja.
Tan Sri Khalid mengesyaki perbelanjaan negara meningkat ekoran pembesaran unit- unit tertentu dalam jabatan perdana menteri yang akhirnya terbukti tidak berkesan.
Bercakap di Pembentangan Rancangan Malaysia Ke- 10 di Shah Alam hari ini, Tan Sri Khalid berkata perbelanjaan kerajaan UMNO-BN mencatatkan perningkatan purata 8 peratus setiap tahun, dari RM113.5 bilion pada tahun 2003 kepada RM220 bilion ringgit tahun lalu.
Tan Sri Khalid berkata bagi tahun ini sahaja, hutang kerajaan memakan lebih separuh, atau 52.9 peratus dari seluruh saiz ekonomi negara.
Salahurus pentadbiran UMNO-BN dijangka menyebabkan hutang negara naik 60 peratus dari RM 362.4 bilion ringgit penghujung tahun lalu kepada RM593.9 bilion ringgit menjelang 2015.
Petualang hutang membengkak ini adalah peningkatan belanja operasi kerajaan, yang naik RM100.8 bilion ringgit dalam masa hanya sembilan tahun sahaja.
"Perbelanjaan sepatutnya diguna untuk pembangunan. Apa yang berlaku di Malaysia ialah peningkatan belanja operasi. Contohnya, kira-kira 40 peratus belanjawan negara diguna untuk pembangunan pada tahun 2003, tetapi dikurangkan kepad sekitar 30 peratus pada tahun 2008. Belanja operasi meningkat daripada RM53.3 bilion pada tahun 2000 kepada RM154.2 bilion pada tahun 2009," kata Khalid.
Tan Sri Khalid mengesyaki sikap paranoia terhadap Pakatan Rakyat mendorong Umno-BN memusatkan kuasa di tangan kerajaan pusat.
"Jabatan Perdana Menteri kian dibesarkan dan nanti akan menjadi kerajaan sendiri. Ia menempatkan terlalu banyak unit pentadbiran dan RMK10 memperkenalkan lebih banyak tambahan lagi. Kini terdapat ICU, PMU, Pemandu, EPU dan EU. Mengapa perlu ada terlalu banyak unit untuk memantau dan menyelaras?," soal Khalid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan