Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 16 Jun: Peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I disindir di Dewan Rakyat kerana menjangkakan ekonomi negara akan tumbuh sebanyak 6 peratus sebagaimana yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).
Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, jangkaan Najib itu adalah tidak munasabah sekiranya dilihat pada senario pertumbuhan ekonomi negara pada RMK9 dan RMK8 yang lalu.
Sehubungan itu, beliau seakan menyifatkan Najib memacu ekonomi negara sebagaimana memandu kereta dengan kelajuan 10 kilometer sejam dengan menggunakan gear dua.
"Adakah kita (kerajaan) mahu memandu kereta 10 kilometer sejam dengan gear dua," sindir beliau ketika mencelah perbahasan RMK10 oleh Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jayakumar.
Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, kerajaan mensasarkan pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 7.5 peratus dari tahun 2001 hingga 2005 melalui RMK8.
Tetapi, menurut beliau, pertumbuhan ekonomi yang berlaku sebanyak 4.7 peratus sahaja.
Ujarnya lagi, kerajaan turut mensasarkan pertumbuhan ekonomi negara dari tahun 2006 hingga 2009 melalui RMK9 sebanyak 6 peratus.
Tetapi, katanya lagi, pertumbuhan ekonomi hanya 4.2 peratus setahun walaupun Najib sendiri telah membenamkan RM235.6 bilion wang Petronas demi mewajahkan senario stabil ekonomi negara sebelum ini.
Melihat pada pemacuan ekonomi negara yang kian kelam, beliau menuntut janji politik yang Najib sendiri mahsyurkan sebelum ini, iaitu ekonomi negara kian pulih dalam masa terdekat.
"Janji Perdana Menteri di Copenhagen, sasaran 7.5 peratus tetapi yang tercapai hanya 4.7 peratus (tetapi) RMK10 sasar 6 peratus,” ujarnya.
Tidak cukup dengan itu, beliau turut mempersoal keberdayaan kerajaan dalam menangani kemelesetan ekonomi negara serta menyelesaikan masalah belanjawan negara yang kian defesit sejak 11 tahun yang lalu.
Sebelum pada itu, Dr. Jayakumar meminta Najib berhenti sikap menipu rakyat dengan memberikan angka sasaran pertumbuhan ekonomi yang tidak menunjukkan realiti sebenar ekonomi negara dan dunia.
Ujarnya lagi, sekiranya dunia boleh jujur menjelaskan senario sebenar kemelesetan ekonomi yang dijangka bersama, mengapa Malaysia masih mahu bersikap sebaliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan