Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aziah Ali membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan perintah injuksi sebelah pihak yang diperoleh pelajar itu pada 1 Jun lepas, sehingga pelupusan saman pemula mereka.
Pelajar itu tiga lelaki, Muhammad Hilman Idham, 21, Woon King Chai, 22, Muhammad Ismail Aminuddin, 22, dan seorang pelajar perempuan, Azlin Shafina Mohamad Adza, 22, pada ketika kejadian berada di tahun kedua pengajian dan akan memulakan pengajian tahun ketiga mereka pada Julai ini.
AUKU bertentangan Perlembagaan
Mereka juga memohon deklarasi bahawa Seksyen 15(5)(a) AUKU, adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Seksyen itu menyebut bahawa tiada seorang pun pelajar universiti boleh menyatakan atau melakukan apa jua yang boleh ditafsirkan sebagai sokongan atau simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik sama ada di dalam atau di luar negara.
Mahkamah menetapkan 9 Julai ini bagi mendengar saman pemula itu.
D
Salah seorang pelajar itu, Muhammad Hilman, dalam afidavitnya bagi menyokong saman pemula itu mendakwa pada April lepas, mereka berada di Hulu Selangor antara lain untuk membuat pemerhatian secara langsung bagi membantu pemahaman mereka mengenai situasi sebenar semasa kempen sesebuah pilihan raya kecil.
"Kami juga berhasrat untuk memerhatikan cara bagaimana pihak-pihak politik dari kedua-dua parti utama yang bertanding menarik undi rakyat dalam keadaan politik negara kita yang dikatakan menuju ke arah politik baru," katanya.
Bagaimanapun, mereka telah ditahan oleh polis serta pasukan pemantauan pilihan raya kementerian pengajian tinggi dan pegawai pemantau UKM dan diarahkan keluar dari kawasan itu.
Keempat-empat pelajar itu diwakili peguam Haris Ibrahim dan Ashok Kandiah, manakala peguam kanan persekutuan Aida Adha Abu Bakar mewakili kerajaan Malaysia serta Menteri Pengajian Tinggi dan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili UKM.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan