"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes rebut pusaka Syed Kechik - 14 Julai

Kes perebutan anggota keluarga Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary sebagai pentadbir harta pusaka bernilai RM400 juta, akan didengar di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, pada 14 Julai ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah berhubung permohonan kaveat anak lelaki Syed Kecik iaitu Syed Gamal, terhadap keluarga tirinya bagi menghalang mereka menguruskan harta pusaka itu tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Syed Gamal diwakili peguam Azhar Arman Ali, Zulkifli Che Yong dan Azmi Tan Sri Mohd Rais manakala peguam Datuk N.Vijay Kumar mewakili Puan Sri Sofiah Moo Abdullah, Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira.

Dalam permohonan yang difailkan 14 April lalu, Syed Gamal, yang merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik dengan isteri pertamanya, mendakwa beliau merupakan waris dan anak yang sah untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka itu.

Beliau menamakan dirinya sebagai sebagai kaveator manakala ibu tiri iaitu Sofiah dan adik tiri, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira sebagai pempetisyen.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik 10 April tahun lepas pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.

Syed Kechik ialah bapa mentua pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, seorang bilionair yang tersenarai antara orang terkaya di negara ini.

Syed Gamal, 46, membuat permohonan itu berikutan tindakan keluarga tirinya memfailkan petisyen memohon supaya surat kuasa mentadbir harta pusaka bapanya diberikan kepada mereka.

Dalam petisyen yang difailkan pada 15 Sept tahun lepas, mereka memohon surat kuasa mentadbir diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak yang sah di sisi undang-undang kerana Syed Kechik tidak meninggalkan wasiat berhubung hartanya itu.

Tiada ulasan: