"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah tolak usaha Anwar akses laporan perubatan Saiful

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Pemimpin pembangkang Datuk Seri AnwarIbrahim hari ini gagal mendapatkan laporan perubatan dan sampel spesimen yangdisediakan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan Anwar bagi mendapatkan dokumen-dokumen itu dan memutuskan bahawa tidak ada peruntukan dan asas undang-undang bagi membekalkan dokumen-dokumen itu kepada pihak pembelaan.

Mohamad Zabidin membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan dari peguam Anwar, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara 11, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Pihak pembelaan memerlukan pelbagai dokumen dan bahan untuk diteliti pakar forensik Australia Prof Madya David Lawrence Noel Wells, yang telah diambil sebagai pemerhati oleh pasukan Anwar, sebelum pemeriksaan balas ke atas saksi kedua, pakar bedah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Razali Ibrahim.

Dalam permohonannya, Anwar meminta semua nota klinikal dan laporan perubatan, bahan, spesimen, e-mel, nota bertulis tangan, surat-menyurat, catatan dan pemerhatian oleh ketiga-tiga doktor yang telah memeriksa Mohd Saiful pada 28 Jun, 2008, dua hari selepas Mohd Saiful mendakwa dia diliwat oleh Anwar.

Dr Mohd Razali telah memeriksa bekas pembantu Anwar dengan pakar rawatan kecemasan Dr Khairul Nizam Hassan dan pakar patologi forensik Dr Siew Sheue Feng.

Anwar turut memohon sejarah lengkap pemeriksaan perubatan ke atas Mohd Saiful yang dijalankan di HKL, proforma serangan seksual standard dan kit serangan seksual yang digunakan oleh hospital dan kelayakan serta pengalaman ketiga-tiga doktor berkenaan.

Mahkamah menetapkan 14 Julai untuk menyambung perbicaraan.

Anwar, 63, yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, didakwa meliwat Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Terdahulu, Karpal berhujah bahawa mahkamah tidak sepatutnya terlepas pandang mengenai keperluan bagi memastikan anak guamnya diberikan satu perbicaraan yang adil berdasarkan perintah Mahkamah Persekutuan pada 29 Jan.

Mahkamah Persekutuan, ketika menolak permohonan Anwar bagi pendakwaan untuk

membekalkan pelbagai dokumen termasuk laporan perubatan dan sampel specimen, memutuskan bahawa pembelaan boleh memohon untuk mendapatkan dokumen-dokumen itu semasa perbicaraan.

Beliau berkata pembelaan memerlukan dokumen-dokumen itu kerana tugas pakarnya ialah untuk menasihatkan pasukan pembelaan yang telah terjejas tanpa dokumen-dokumen itu.

Karpal berkata pakar itu menjelaskan bahawa adalah penting dan mempunyai kaitan untuk melihat semua dokumen itu untuk sebarang nasihat yang bermakna bagi pasukan pembelaan.

Mohamed Yusof menjawab bahawa dalam sesebuah perbicaraan, keterangan terbaik ialah keterangan lisan dan jika pembelaan perlu memeriksa dokumen-dokumen itu, mereka perlu bertanya doktor semasa pemeriksaan balas.

Beliau juga berkata pemohon (Anwar) telah gagal menunjukkan peruntukan undang-undang bagi menyokong permohonannya.
-Bernama-

Tiada ulasan: