Nur Wani Ahmat
“Bola, bola juga…jangan sebab bola perkara yang wajib kita tinggal”, masih saya ingat pesanan emak kepada anak-anak lelakinya ketika musim perlawanan Piala Dunia.
Di kesempatan ini saya ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar tidak menjadikan bola segala-galanya sehingga meninggalkan perkara wajib yang utama iaitu sembahyang. Ada yang meninggalkan sembahyang Subuh gara-gara berjaga malam menonton perlawanan Piala Dunia. Ada juga yang tidak sempat menunaikan sembahyang fardhu yang lain disebabkan terlalu khusyuk di hadapan televisyen menonton Piala Dunia.
Bukan setakat wajibnya sembahyang yang perlu ditunaikan tetapi ada juga yang meningggalkan peranan wajib mencari rezeki gara-gara bola. Ada yang sanggup ponteng kerja dan membeli cuti sakit akibat kurang tidur di sebelah malam. Semuanya sebab Piala Dunia yang hadir 4 tahun sekali.
Buat para lelaki yang bergelar ayah dan merupakan ketua rumahtangga, urusan mencari rezeki adalah wajib dan sekiranya kesempatan pada Piala Dunia ini disalah gunakan, maka di manakah datangnya keberkatan rezeki dalam kehidupan? Ada sesetengah antara kita yang merasakan bola lebih penting dari bercakap soal keberkatan mencari rezeki untuk keluarga tercinta.
Tidak salah menonton perlawanan bola sepak dan taksub dengan Piala Dunia sehingga ada antaranya yang tidak boleh tertinggal satu perlawanan sekalipun. Tetapi apa yang penting adalah tanggungjawab mencari nafkah lebih diutamakan dan tidak perlu diwujudkan sebarang alasan kepada majikan untuk tidak hadir ke tempat kerja ura-ura Piala Dunia.
Bila berlangsungnya Piala Dunia, ada sesetengah organisasi yang menjangkakan mengalami penurunan dari segi produktiviti tenaga kerja terutamanya industri perkilangan. Pekerja lebih suka bercerita tentang bola di tempat kerja dari bercerita tentang bagaimanakah strategi untuk meningkatkan prestasi syarikat.
Apa yang lebih merisaukan lagi ialah aspek keselamatan diri terutamanya buat pekerja industri yang mengendalikan jentera-jentera atau mesin-mesin yang mana risiko untuk berlakunya kemalangan industri adalah lebih tinggi apabila kurangnya penumpuan ketika bekerja. Tindakan yang tidak selamat dan keadaan diri yang mengantuk akibat berjaga malam serta kurang fokus merupakan beberapa faktor berlakunya kemalangan sama ada dalam perjalanan untuk ke tempat kerja mahupun di kawasan tempat kerja.
Justeru itu, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang bergelar pekerja supaya menjaga etika dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tugas dalam musim Piala Dunia ini. Jangan disebabkan bola, maka kita lupa akan segala-galanya dan ada yang sanggup hilang kerja, mempertaruhkan keselamatan diri gara-gara bola. Maka jangan kita gadaikan keselamatan di dunia dan keselamatan di akhirat hanya kerana Piala Dunia yang hadir hanya empat tahun sekali.
Nur Wani Ahmat,
Negeri Sembilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan