"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keputusan MAIWP tolak bukan Islam dicabar

Seorang peguam wanita bukan Islam yang memperoleh kebenaran dalam percubaan awalnya untuk menjadi peguam syarie, telah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan bahawa hanya peguam Islam sahaja dibenarkan berkhidmat di Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Melalui permohonan
yang difailkan pada 15 Mei lalu, Victoria Jayaseele Martin juga meminta satu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), menerusi jawatankuasa peguam syarie, yang menolak permohonan beliau untuk diterima sebagai peguam syarie.

Martin, 48, turut memohon satu perintah mandamus bagi memaksa MAIWP menerima beliau sebagai peguam syarie.

Beliau juga mahu satu pengisytiharan bahawa Peraturan 10 dalam Peraturan-Peraturan Peguam Syarie 1993 yang memberi mandat bahawa hanya orang Islam diterima masuk sebagai peguam syarie, telah melanggar Perkara 8, 5 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam permohonan itu, beliau menamakan MAIWP sebagai responden.

Peguamnya, Ranjit Singh, memberitahu pemberita bahawa tarikh permohonan itu akan didengar belum ditetapkan.

Pada 14 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan Martin membuat semakan kehakiman bagi mendapatkan satu perintah untuk memaksa MAIWP menerimanya sebagai peguam syarie.

Mohd Zawawi membuat keputusan itu selepas menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh MAIWP berhubung permohonan peguam wanita itu.

Ini merupakan kes pertama di Kuala Lumpur di mana seorang peguam bukan Islam diberi kebenaran mencabar keputusan bahawa hanya peguam Islam sahaja yang dibenarkan melakukan amalan di Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, syarat utama menjadi peguam syarie ialah seseorang itu mestilah beragama Islam.

Martin, yang memperoleh Diploma Amalan dan Undang-undang Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 2004, juga telah mengambil tindakan undang-undang di mahkamah sivil selepas permohonannya ditolak oleh MAIWP.

-Bernama-

Tiada ulasan: