"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Judi bola: LLG bantah lesen, ajak sertai himpunan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 9 Jun:
Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menyeru pertubuhan masyarakat madani meneruskan protes terhadap kerajaan yang meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010.

Presidennya, Dr Toh Kin Woon juga menyeru masyarakat menghadiri perhimpunan besar yang dianjurkan oleh Gabungan Rakyat Membantah Judi (GMJ) pada 3 Julai bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

“Rakyat mesti mengambil bahagian dalam isu-isu masyarakat, menerajui agenda rakyat, inilah maksud demokrasi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kerajaan juga, katanya harus mengurangkan bilangan pembukaan Toto Magnum, menggalakkan rakyat rajin bekerja untuk menjana pendapatan, bukan berfikir secara opportunis dan giat membeli nombor ramalan ekor.

Tambahnya, tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak bukan sahaja menggalakkan gejala judi, mengaitkan aktiviti sukan dengan judi dan mencemarkan fikiran belia-belia juga tidak dapat membendung perjudian haram secara berkesan.

Menurutnya lagi, asas pemberian lesen judi bola sepak tidak dapat membendung perjudian haram dan usaha meningkatkan pendapatan kerajaan tidak meyakinkan.

Baginya, negara tidak perlu meningkatkan hasil cukai dengan pendekatan mencemarkan fikiran belia dan membahayakan masyarakat melalui kelulusan lesen judi itu.

Hakikatnya, kata beliau pendapatan negara disalahgunakan dengan perbelanjaan boros termasuk skandal khazanah negara yang disalurkan kepada parti politik yang sering kali berlaku.

Ujarnya, pemimpin kerajaan yang meluluskan lesen judi bola sepak dengan alasan “mesti adil terhadap komuniti bukan muslim” membayangkan orang Cina dan India gemar berjudi.

“Kenyataan ini amat tidak bertanggungjawab dan cuba merosakkan hubungan baik antara bukan muslim dan muslim. Judi bukan kebudayaan sesuatu kumpulan etnik.

“Sebahagian orang Cina atau India gemar judi tidak bermakna ia budaya seluruh kumpulan etnik, kerajaan tidak patut memperkudakan bukan muslim sebagai alasan meluluskan lesen judi bola sepak,” ujarnya lagi.

Bahkan, katanya beberapa pertubuhan orang Cina telah menyuarakan rasa tidak bersetuju terhadap pemberian lesen tersebut kerana judi bola sepak merosakkan nilai-nilai moral dan akhlak warga negara tanpa mengira kaum.

Tiada ulasan: