"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat perlu tolak proksi zionis Israel di Malaysia

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 8 Jun:
Pengerusi Lajnah Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat, Mohamad Sabu (gambar) mengajak rakyat supaya menolak proksi zionis Israel di Malaysia sebagaimana dunia menolak kuasa haram itu di peringkat antarabangsa.

"Kalau zionis Israel yang jauh pun kita sebagai rakyat menyertai dunia mengecam kuasa haram itu di Dewan Rakyat dan di jalan raya, sepatutnya kita perlu menolak proksi-proksi mereka ini yang ada dekat di dalam negara," jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut beliau, proksi zionis Israel yang dimaksudkan adalah mereka yang terbabit melantik firma perunding antarabangsa APCO Worldwide (IAC) sebagai syarikat perunding komunikasi penuh dalam membantu kerajaan menjayakan wawasan Satu Malaysia walaupun firma tersebut dibuktikan umum mempunyai hubungan langsung dengan kuasa zionis Israel.

Tambahnya lagi, proksi yang dimaksudkan termasuk juga mereka yang terbabit membawa masuk dua agen perisikan ketenteraan Israel ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman melalui firma Asiasoft (M) Sdn. Bhd seperti yang dilaporkan oleh beberapa media sebelum ini.

Bagi beliau, selagi rakyat tidak menggunakan ruang demokrasi dengan menolak para pemimpin Umno BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak, selagi itu negara akan terus dipimpin oleh mereka yang nyata mengikut telunjuk Amerika Syarikat serta seakan memelihara kepentingan negara haram Israel.

Beliau seakan turut menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana dilihat tidak berani mengkritik Amerika Syarikat yang nyata bersikap bias pada zionis Israel.

"Malaysia baru sehari dua ini bercinta dengan Barrack Obama, sebab itu Perdana Menteri kita kurang menyerlah berbanding Amerika Syarikat yang nyata melindungi kepentingan negara Israel sekian lama," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan para pemimpin negara-negara umat Islam supaya tidak sekadar mencari populariti dengan bersandiwara menentang zionis Israel ekoran bantuan kemanusiaan sedunia dihalang masuk ke Gaza baru-baru ini.

"Tiba-tiba saja kita mendengar pemimpin itu dan ini menjadi juara menentang zionis hingga tenggelam kuasa-kuasa yang lantang seperti Iran dan Venezuela kerana populariti, sedangkan mereka ini ada yang diam-diam menyokong dasar-dasar Amerika dan Israel," jelasnya lagi.

Tuntas dari itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa segelintir pemimpin Umno BN terbabit sanggup menggadai kepentingan negara demi memelihara kepentingan bersama Amerika Syarikat serta negara haram Israel sekiranya mereka terus menjadi kerajaan di Malaysia.

Tiada ulasan: