"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adakah Coli dan seluar dalam Wanita Umno pun GLC tolong belikan

ZULKIFLI YAHAYA
Semakin banyak didedahkan mengenai penyelewengan dalam GLC di zaman BN, semakin banyak pihak atau individu yang menghubungi penulis memberikan maklumat. Cuma saya perlu berhati-hati kerana bukan semua maklumat boleh disiarkan sewenang-wenang. Bukan kerana ianya tidak benar tetapi kerana semua fakta perlu disokong oleh bukti.

Jadi, walaupun terlalu banyak maklumat penyelewengan GLC yang diterima namun hanya maklumat yang terpilih sahaja yang boleh dan wajar didedahkan. Saat di mana BN menggunakan cengkaman kuku besinya untuk mengawal media, kita perlu berhati-hati. Suara Keadilan hanya melakukan kesilapan tidak meletakkan tanda ‘?’ pada tajuk ‘Felda Bangkrap’ menyebabkan ia diharamkan, walhal seluruh isi berita dalam akhbar tersebut tidak menyebut sepatah pun bahawa Felda sudah diisytiharkan bangkrap.

Bukti yang nyata bahawa Syarikat Seri Temin Development Corporation (STDC) di zaman BN menyalurkan duit syarikat untuk kepentingan politik BN sebanyak RM1.7 juta. Itu adalah pemberian tunai secara langsung. Masih ada lagi perbelanjaan yang dibuat untuk program politik BN oleh STDC. Maksudnya STDC tolong lunaskan perbelanjaan program BN. Semuanya itu dianggarkan RM1 juta. Bermakna ‘derma politik’ untuk BN dari STDC menjelang pilihanraya umum ke 12 lalu ialah sebanyak RM2.7 juta.

Yang Sewa khemah UMNO tapi yang kena bayaq ialah GLC

Di antara tuntutan yang terdapat dalam invois pembekal ialah menyewa khemah untuk program kempen politik BN sebanyak lebih RM300 ribu. Semua itu terpaksa dijelaskan oleh STDC kini secara beransur. Tak fasal-fasal pihak pengurusan sekarang yang menanggung beban yang ditinggalkan mereka.

Terdapat juga perbelanjaan membekal kain tudung sewaktu pilihanraya umum sebanyak RM20 ribu. Walaupun tidak dinyatakan kain tudung untuk siapa, tetapi tentulah kain tudung itu bukan untuk Muslimat PAS. Bukan juga untuk Wanita MCA, MIC atau Gerakan, sebab mereka tak pakai tudung. Sya tak tahu apakah memang menjadi amalan Wanita atau Puteri Umno sebelum ini; kain batik, coli dan seluar dalam pun GLC tolong belikan?

Berhubung pemberian RM1.7 juta untuk membiayai program politik BN, ada juga yang bertanya siapa penerimanyanya. Mestilah semua itu tercatat dalam baucer. Inilah yang sukarnya untuk mencari siapa penerimanya kerana dalam dokumen pembayaran hanya dicatatkan ‘Tunai’. Bayangkan jika penyelewengan GLC itu berlaku di masa pemerintahan PAS, maka teruklah pegawai-pegawai atau pihak politik di soal-siasat.

Kuasa Siapa??

Persoalan yang timbul sekarang ialah sama ada pihak pengurusan STDC mahupun Lembaga Pengarah STDC mempunyai kuasa untuk meluluskan sumbangan yang sebanyak ini. Ini adalah kerana menurut akaun pengurusan STDC, pendapatan syarikat bagi tempoh Januari hingga Mac 2009 adalah RM1,415,888.77 ("actual recorded figures taken from STDC’s Management Account from January 2009-March 2009"). Sedangkan jumlah program "Pemimpin Bersama Rakyat" disetiap kawasan Parlimen di negeri Kedah Darul Aman adalah sebanyak RM1.7 juta berbanding pendapatan syarikat sebanyak RM1.4 juta.

Oleh itu, dari segi logiknya sumbangan yang jumlahnya melebihi pendapatan dalam tempoh yang sama bolehlah dianggap penting atau "significant" yang mungkin memerlukan kelulusan lebih dari Lembaga Pengarah.

Adakah perkara seumpama ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham (iaitu PKNK) melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa ("Extraordinary General Meeting") atau Mesyuarat Agung Tahunan ("Annual General Meeting")?

Mari kita menganalisa Akta Syarikat, 1965 ("Companies Act, 1965"). Menurut Bahagian 5(2) (Pengarah & Pegawai Syarikat) Seksyen 132 (Tugas dan Tanggungan Pengarah & Pegawai) Peruntukan 1E (Tanggungjawab Pengarah Lantikan):

"Seseorang pengarah, yang dilantik melalui kedudukannya sebagai seorang pekerja atau; dilantik mewakili pemegang saham, majikan atau pemegang debentur; hendaklah sentiasa bertindak atas kepentingan syarikat tersebut; dan sekiranya wujud percanggahan antara tanggungjawabnya atas kepentingan syarikat dengan tanggungjawabnya atas kepentingan pihak yang melantiknya, maka beliau tidak boleh mendahulukan tanggunjawabnya pihak yang melantiknya dengan tanggungjawabnya terhadap kepentingan syarikat."

Tugas Pengarah
Peraturan ini jelas menyatakan seseorang pengarah yang dilantik hendaklah menjaga kepentingan syarikat pada setiap masa. Oleh kerana Syed Sobri dan pengarah-pengarah lain tidak memegang saham secara langsung dalam syarikat STDC, maka mereka adalah pengarah yang dilantik mewakili pemegang saham ("nominee directors"). Justeru itu, mereka tanggungjawab mereka termaktub di bawah peruntukan yang disebut di atas. Mereka ialah Dato’ Seri Mahdzir Khalid, Dato’ Ariffin Man, Datuk Syed Sobri Syed Hashim, Encik Zubir Zabidi, Encik Mohamad Radzi Ayob, Encik Mustafar Ahmad, Puan Marlia Abd. Latiff dan Puan Sharifah Adawiyah Syed Ismail. Semua pemimpin politik Umno.

Di dalam peraturan ini juga disebut bahawa tanggungjawab pengarah menjaga kepentingan syarikat mendahului tanggungjawab pengarah itu terhadap pihak yang melantiknya samada pihak itu pemegang saham (dalam kes ini PKNK) atau pihak yang lebih tinggi (dalam kes ini Menteri Besar Kedah Darul Aman ketika itu Dato’ Seri Mahdzir Khalid).

Persoalan yang timbul adalah:
• Adakah menyumbang sebanyak RM1.7 juta di ketika pendapatan syarikat semasa hanya RM1.4 juta merupakan satu tindakan yang dianggap menjaga kepentingan syarikat?
• Biarlah Suruhanjaya Syarikat Malaysia ("SSM") membuat penilaian apabila perkara ini dilaporkan kepada SSM secara rasminya tidak lama lagi. Harap-harap Syed Sobri dan ahli-ahli lembaga pengarah STDC yang lepas bersedia menghadapi sesi soal-siasat SSM yang mempunyai kuasa mendakwa tersendiri sebagaimana diperuntukan kepadanya di dalam Akta Syarikat, 1965 Bahagian 2, Peruntukan 7-7D.

Dalam pada itu, ahli lembaga pengarah STDC pada ketika itu masih boleh dipanggil oleh PKNK sebagai pemegang saham 100% dalam STDC bagi menerangkan sebab Lembaga Pengarah meluluskan sumbangan RM1.7 juta ini.

Di celah-celah penemuan sebanyak RM2.7 juta wang STDC digunakan untuk membiayai program politik BN, terdapat sekeping bukti pembayaran yang ‘menyedihkan’ iaitu sumbangan untuk ibu tunggal sebanyak RM20! Bukan saja sedih dan lucu. Geram pun ada.

Tiada ulasan: