"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anggota Kabinet Isytihar Harta - Jadikan Malaysia Negara Pertama

Fadhil Osman
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong saranan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Seri Abu Kassim Mohammed untuk meminta semua anggota kabinet mendedahkan harta mereka kepada umum. DPPWP bersetuju dengan saranan beliau bagi membuktikan Kabinet Malaysia benar-benar telus, jujur serta bersih dari amalan rasuah serta penyelewengan.

Namun demikian, DPPWP agak kesal dengan kenyataan Presiden MCA, Dato' Seri Dr. Chua Soi Lek yang mempersoalkan hasrat Ketua Pesuruhjaya itu. Soal mana negara yang telah melaksanakan amalan mengisytiharkan harta mereka tidak menjadi isu. Yang perlu dipersoalkan ialah bagaimana Malaysia mampu memulihkan imej dan kredibiliti pemimpinnya di mata masyarakat bahkan di peringkat dunia. Dengan isu pendakwaan terbaru terhadap Tun Dr Ling Liong Sik di atas penyelewengan projek Zon bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Kabinet Malaysia perlu membuktkan kepada rakyat Malaysia mereka boleh diyakini untuk memimpin Malaysia.

DPPWP berpandangan, tidak memadai anggota kabinet hanya mengisytiharkan harta mereka kepada Perdana Menteri tidak kepada umum. Apakah suatu jaminan pengisytiharan harta hanya kepada Perdana Menteri membuktikan kabinet benar-benar bersih dan telus. Siapakah selain Perdana Menteri yang boleh menilai harta milik kabinet. Siapakah pula dapat menilai harta Perdana Menteri dan memastikan harta itu bebas dari unsur penyelewengan.

Dato' Seri Dr Chua Soi Lek tidak perlu bimbang sekiranya harta kabinet diisytiharkan kepada umum. Soal keselamatan dan privasi tidak menjadi masalah kerana Malaysia mempunyai pasukan keselamatan yang hebat dan lengkap. Sekiranya Kabinet Malaysia bersih dan tidak bersalah, apakah yang perlu ditakutkan. Sebaliknya pula jika mereka bersalah, maka SPRM wajar ambil tindakan sewajarnya termasuk kepada pemimpin pembangkang.

Sememangnya pemimpin negara sentiasa menjadi tatapan mata rakyat. Cara hidup, budaya dan amalan seharian mereka menjadi ikutan penyokong-penyokong. Bersihnya negara dari rasuah dan penyelewengan boleh dilihat dari budaya hidup pemimpin-pemimpin negara tersebut.

Andai sekalipun tidak ada negara yang telah mengamalkan isytiharkan harta Kabinet kepada umum, mengapa tidak Malaysia mencipta sejarah tersendiri. Biarlah Malaysia dalam memastikan negaranya bebas dari sebarang bentuk rasuah, menjadi negara pertama di dunia yang kabinetnya isytiharkan harta kepada awam!

Disediakan oleh:

FADHIL OSMAN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Tiada ulasan: