"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kanak-Kanak Perempuan Lima Tahun, Mangsa Terbaru Kes Cabul Pemandu Van

KUALA LUMPUR: Kecurigaan seorang ibu dengan sikap anaknya yang enggan menaiki van yang menghantarnya ke taska terjawab apabila kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu mengadu kemaluannya sakit, dipercayai akibat dicabul.

Semuanya terbongkar Sabtu lepas apabila kanak-kanak itu menangis ketika dimandikan ibunya, dan setelah didesak, beliau memberitahu kemaluannya telah dipegang secara kasar oleh pemandu van yang menghantarnya ke taska.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata kanak-kanak perempuan itu dihantar ke taska oleh pemandu van berkenaan sejak Jun lepas.

Beliau berkata berikutan itu, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya pada hari yang sama.

"Hasil daripada tindakan pantas pihak polis, lelaki yang berusia 27 tahun itu telah berjaya diberkas di rumahnya yang terletak di Kampung Cheras Baru semalam," katanya.

Abdul Jalil berkata lelaki tersebut akan memastikan kanak-kanak perempuan itu merupakan penumpang terakhir yang dihantarnya bagi membolehkan dia mencabul mangsa.

"Pemandu tersebut melakukan perkara terkutuk itu di dalam van miliknya sebelum menghantar mangsa pulang ke rumahnya," katanya.

Beliau berkata lelaki itu kini ditahan polis dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Abdul Jalil mengingatkan ibu bapa supaya lebih prihatin dalam memilih pemandu van untuk menghantar anak mereka ke sekolah ataupun ke taska.

"Selain itu, ibu bapa juga perlu prihatin dalam mengenal pasti tingkah laku anak-anak mereka, dan sekiranya ada sikap mereka yang mencurigakan, perlu cepat-cepat dipastikan agar perkara tersebut tidak berlarutan," katanya.
-Bernama-

Tiada ulasan: