"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KP Tourism Malaysia didakwa pecah amanah RM888,000

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mirza Mohammad Taiyab didakwa pecah amanah sebanyak RM888,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau didakwa meluluskan pembayaran wang tersebut ke akaun LCL Interior Dubai pada 27 Februari 2007 bagi projek pembinaan Restoren Malaysia Dubai sedangkan syarat yang perlu dipatuhi bagi projek itu tidak dipatuhi.

Mirza, pada masa itu ahli lembaga pengarah di anak syarikat kementerian pelancongan - Pempena Sdn Bhd - didakwa bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun serta boleh didenda.

Mirza, 53, mengaku tidak bersalah. Hakim Azizah Mahmud menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 dan mengarahkan dia menyerahkan paspot pada 1 September apabila pulang daripada mengerjakan umrah.

Mirza diwakili peguam Shashi Menon. Tarikh sebutan kes itu ditetapkan pada 6 September.

Tahun lalu, Mirza dibebaskan daripada tuduhan menerima imbuhan dalam bentuk penjagaan gigi bernilai RM13,860.

2 didakwa beri RM160,770 pada Ummi Hafilda

Pagi tadi, Ketua pegawai operasi (COO) Mohammad Rosly Md Selamat turut
didakwa atas tuduhan pecah amanah kerana menaja konsert tanpa pengetahuan lembaga pengarah.

Beliau didakwa bersama bekas pengawal kewangan Lim Khing Thai kerana memberikan RM160,770 "dengan niat jahat" kepada Ummi Hafilda Ali untuk penganjuran konsert pada 15 Ogos 2006.

Tuduhan terhadap Pempena pertama kali muncul pada 2 Julai 2008.Malaysiakini melaporkan mengenai memorandum kakitangan Pempena kepada menteri pelancongan ketika itu, Datuk Azalina Othman, mendakwa berlaku rasuahdan pecah amanah oleh dua pegawai kanan syarikat berkenaan.

Antara lain mereka didakwa menerima komisyen apabila membiayai semula kenderaan untuk perkhidmatan teksi mewah, meluluskan beberapa kontrak kepada syarikat RM2 dan kos berlebihan untuk mewujudkan sebuah portal e-pelancongan sekitar RM5 juta.

Beberapa hari kemudian, Azalina memberitahu Dewan Rakyat bahawa satu siasatan dalaman sedang dijalankan.

Pada 3 November, beliau mendedahkan bahawa audit PriceWaterhouse Coopers (PWC) telah mengesahkan urusan Pempena yang 'meragukan'.

Laporan siasatan PWC, yang didedahkan oleh ahli parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang MP pada bulan November tahun tersebut, menyatakan bahawa sehingga Jun 2008, Pempena telah melabur RM54.5 juta dalam 24 syarikat, tetapi hanya empat yang memberi keuntungan.

PWC juga menyatakan, sehingga November 2008, projek perkhidmatan teksi mewah (Pets) yang menelan belanja RM18.3 juta, mengalami kerugian sehingga RM7.8 juta.

Tiada ulasan: