"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak lahir dulu sebelum Bapak?

Bapak bukti Anak berjaya
Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 22 Nov: Penubuhan Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak) yang diumumkan kerajaan semalam membuktikan usaha Anak selama ini berjaya.

Anak atau nama penuhnya Gabungan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, ditubuhkan bagi membuka mata kerajaan tentang permasalahan peneroka Felda, kata pengerusinya, Mazlan Aliman.

"Penubuhan biro ini saya anggap satu pengiktirafan kepada Anak yang kita tubuhkan.

"Hasrat penubuhan Anak adalah bagi merangsang kesedaran semua pihak terhadap masalah peneroka dan kita telah berjaya buka mata mereka," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Biarpun mengalu-alukan penubuhan biro itu, Mazlan berkata ianya tetap terkebelakang kerana sepatutnya ia ditubuhkan sejak awal penubuhan Felda lagi.

Beliau juga mendakwa penubuhan tersebut tidak lebih dari 'gimik politik' Umno menutup kelemahan Felda menjelang PRU 13 yang dijangka tahun hadapan.

Bagaimanapun katanya, Anak sedia bekerjasama dengan Bapak untuk menyelesaikan kes tertunggak peneroka yang ada.

"Tak ada masalah Anak nak tolong Bapak, tapi kalau Bapak tak boleh harap, biarlah Anak yang buat," katanya sinis.

Untuk permulaan katanya, Anak akan menyerahkan 20 kes yang ada pada mereka kepada Bapak.

"Kita nak tengok Bapak boleh tak selesaikan 20 kes pertama ini dalam masa seminggu seperti yang dijanji Datuk Ahmad Maslan (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

"Kita cabar mereka tunjukkan keikhlasan dan komitmen untuk bantu masalah peneroka di 317 tanah rancangan," katanya.

Anak sebelum ini dikenali sebagai NGO yang membela nasib peneroka yang dinafikan hak oleh Felda.

Ianya termasuk isu wang tanam semula yang dimenangi peneroka di Pahang dan Kelantan.

Mazlan juga mendakwa nama Bapak yang diumumkan itu seolah-olah menciplak nama NGO yang telah ditubuhkannya sebelum ini untuk menangani masalah peneroka Felcra.

NGO Bapak sepatutnya akan dilancar pada 26 Disember ini bertempat di Ipoh, Perak.

Tiada ulasan: