"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa kata tak meriah?

Mohsin Abdullah

Berkata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, si ketua Pemuda Bersatu, himpunan Pemuda Perikatan Nasional dan sekutunya yang dijadualkan hari ini 16 Sept bagi membantah keputusan lepas tanpa bebas Zahid Hamidi “ditukar” kepada sambutan Hari Malaysia.

Tetapi kata sekretariat penganjur, perhimpunan tetap meletakkan isu Zahid sebagai agenda utama. Dua lagi perkara yang mereka tuntut membabitkan peguam negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Ertinya ada protes walaupun kata mereka secara aman. Lain macam meriahnya sambutan Hari Malaysia. Tafsiran tersendiri gamaknya. Penganjur turut memberitahu himpunan bertema “Selamatkan Malaysia”. Untungnya Malaysia kerana ramai yang mahu menyelamatkannya. Selamat daripada siapa dan daripada apa?

Dulu (tepatnya 1990) masa Tengku Razaleigh Hamzah mengetuai dua gabungan politik pembangkang (Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah) menentang Barisan Nasional pimpinan Dr Mahathir Mohamad, slogan “Selamatkan Malaysia” digunakan. Jelas Ku Li mahu selamatkan Malaysia daripada cengkaman (dakwa beliau salah guna kuasa) Mahathir. Hasrat itu tidak tercapai kerana gabungan Tengku Razaleigh tewas di peti undi.

Musuh ketatnya Mahathir semasa memimpin Pakatan Harapan juga menggunakan slogan “Selamatkan Malaysia”. Waktu itu Mahathir mahu Malaysia diselamatkan daripada BN khususnya Najib Razak yang terpalit pelbagai skandal kewangan. PH berjaya pada PRU14 2018. Jika ikut tafsiran Malaysia berjaya diselamatkan.

Selepas kerajaan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, PH tanpa Mahathir sekarang mentadbir Malaysia bersama BN. Sekali lagi ikut logik Malaysia sudah selamat. Oleh itu himpunan PN dan sekutu untuk selamatkan Malaysia boleh dilihat sebagai usaha selamatkan Malaysia yang sudah selamat. Setuju atau tidak terpulang tetapi demikian congaknya. Namun sejak bila logik diambil kira dalam hal poltik? Jangan nafi himpunan hari ini ialah mengenai politik.

Tetapi berkata pula Anwar Ibrahim, kerajaan perpaduan pimpinannya berdepan cabaran lebih rumit untuk menyelamatkan Malaysia berikutan sikap pembangkang yang ekstremis dengan memainkan isu agama dan kaum untuk mendapatkan sokongan. Ertinya Malaysia masih perlu diselamatkan jika mengambil kira hujah perdana menteri. Hakikatnya PH-BN mahu Malaysia diselamatkan daripada PN sementara PN pula mahu Malaysia diselamatkan daripada PH-BN.

Di celah itu timbul sambutan Hari Malaysia ala PN yang disebut tadi yakni diisi dengan bantahan, tuntutan, dan desakan. Aneh dan pelik cara menyambut hari kelahiran Persekutuan Malaysia yang ke-60.

Sebenarnya apa yang mahu saya utarakan menerusi artikel ini ialah Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Bermula dengan Hari Kebangsaan. Menjelang 31 Ogos tempoh hari Rina Harun sang pemimpin Bersatu menulis di Malaysiakini bahawa beliau “secara jujur tidak pasti sama ada kita benar-benar merasa teruja untuk menyambut hari yang penuh bersejarah itu atau sebenarnya langsung tak bersedia”.

Beliau mengambil contoh tidak banyak kenderaan dan premis perniagaan yang memasang Jalur Gemilang. “Kalau dulu seawal bulan Ogos lagi kita dapat lihat rakyat berlumba-lumba mengibar Jalur Gemilang”. Bagi saya beliau menyindir kerajaan perpaduan. Rina tidak menjelaskan “dulu” itu bila. Zaman PN memerintah? Waktu itu pun rakyat tidak ambil pot.

Namun ada satu tahun pada 1990-an waktu Mahathir memerintah bersama BN tercetus keghairahan luar biasa. Rakyat ketika itu cukup patriotik. Jalur gemilang ada di merata-rata. Bagaimanapun tahun-tahun berikutnya semangat itu kendur meskipun Mahathir kekal perdana menteri.

Dua hari lalu Rina menulis lagi di portal berita yang sama, kali ini mengenai “Hari Malaysia bukan sekadar sambutan”. Kata beliau hakikatnya masih ramai yang “tak tahu perbezaan antara Har Merdeka (yang kini dinamakan Hari Kebangsaan) dan Hari Malaysia bahkan ada yang menganggap Hari Merdeka dan Hari Malaysia itu sama”.

Menurut beliau situasi ini bukan sesuatu yang memeranjatkan “memandangkan kita akur rakyat negara ini semakin luntur semangat patriotiknya sekali gus memberi kesan terhadap pengetahuan mereka tentang negara”.

Adakah dengan berkata rakyat “semakin luntur semangat patroktiknya” beliau maksudkan sejak diperintah kerajaan sekarang? Saya rasa itu yang Rina maksudkan. Sekadar pendapat peribadi.

Apa pun mengapa beliau tidak perbetulkan kesilapan dan kesalahan yang beliau huraikan semasa duduk sebagai menteri dalam kerajaan PH pimpinan Mahathir, Muhyiddin, dan Ismail? Mengapa tidak melakukan sesuatu di kementerian yang diterajui beliau atau membawa hal ini ke Jemaah Menteri?

Antaranya mengambil langkah agar setiap rakyat faham yang Merdeka pada 31 Ogos 1957 ialah Tanah Melayu bukan Malaysia. Malaysia hanya wujud pada 16 Sepetember 1963. Bermula itu Tanah Melayu dilihat sudah tidak ada lagi. Maka Hari Merdeka dikenali sebagai Hari Kebangsaan. Juga mengambil langkah untuk memastikan rakyat bersemangat menyambut kedua-dua hari itu.

Sehingga kini Hari Kebangsaan disambut lebih meriah oleh orang Semenanjung berbanding Hari Malaysia kerana mengaitkan hari itu dengan kemerdekaan negara. Kawan-kawan kita di Sabah dan Sarawak kurang minat menyambut 31 Ogos kerana kata mereka tidak ada kena mengena dengan mereka. Mereka bangga dengan 16 Sept Hari Malaysia. Orang Semenanjung sebaliknya. Itu realiti yang menyedihkan.

Orang kita sering merujuk keadaan di Indonesia apabila republik itu menyambut hari kemerdekaannya pada 17 Ogos. Sememangnya semangat patrotik boleh dirasa awal-awal lagi. Bendera merah putih dikibar dengna bangga di merata tempat. Dibeli sendiri oleh rakyat. Tidak perlu tunggu handout daripada kerajaan. Sambutan diadakan sepanjang Ogos pada peringkat rakyat, bukan sahaja peringkat nasional anjuran pemerintah. Acara rakyat dibiayai dan disertai rakyat. Kesimpulannya rakyat Indonesia cukup bangga dengan kemerdekaan mereka. Apatah lagi, kata mereka, dicapai dengan pertumpahan darah para pejuang melawan Belanda.

Itu semua kita tahu. Mungkin yang kita tidak tahu ialah Pancasila, falsafah utama di sebalik ketatanegaraan Indonesia diajar sebagai mata pelajaran bermula di tadika, ke sekolah rendah, dan langsung ke sekolah menengah. Ertinya ada peperiksaan. Bukan mengajar secara suka-suka. Ertinya rakyat dipupuk pada usia amat muda lagi.

Kita ada Rukun Negara yang boleh dianggap Pancasila versi kita. Mungkin ada eloknya kerajaan sekarang mengkaji bagaimana ia boleh diserap ke dalam setiap rakyat bermula daripada si kecil. Lakukan apa yang kerajaan sebelum ini tidak lakukan. Demi negara.

Selamat Hari Malaysia.

Tiada ulasan: