"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki tuntut hutang ‘dibayar’ rantai besi

FMT Reporters
Pekerja restoran bengkak di jari telunjuk kiri dan jari kelingking kanan akibat dibaling rantai besi serta dipukul. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Seorang pekerja asing cedera dibaling rantai besi dan dipukul ketika meminta seorang lelaki membayar hutang makanan.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail, berkata dalam kejadian 6 petang semalam, pekerja restoran di Pandan Utama berusia 34 tahun itu dipanggil suspek yang melepak di bengkel motosikal bersebelahan restoran terbabit.

Katanya, mangsa ke bengkel itu untuk berjumpa suspek, tetapi tiba-tiba dibaling rantai besi disertakan mangga dan suspek cuba memukul kepala mangsa menggunakan rantai besi.

“Suspek juga menarik mangsa dan mengacu pisau, namun ditahan pekerja restoran,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami bengkak di jari telunjuk kiri dan jari kelingking kanan mendapat rawatan di Hospital Ampang.

Katanya, punca kejadian disebabkan mangsa bertanya suspek berhubung hutang tidak dibayarnya beberapa kali sebelum ini.

Azam berkata, suspek tidak bekerja yang berusia 41 tahun itu ditahan dekat lokasi kejadian oleh anggota polis sedang membuat rondaan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau kesalahan jenayah tidak dikehendaki dan ujian awal saringan air kencing positif dadah jenis Benzo.”

Katanya, suspek direman empat hari hingga 16 Sept bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: