"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

YDP Pas Kangar dihadap ke mahkamah anjur ceramah tanpa tauliah, jemput Ustaz Wadi

HARAPAN DAILY 
 
Menghina kuasa raja pemerintah dan badan agama Islam negeri menerusi penganjuran ceramah agama tanpa tauliah di Kangar pada 30 Mac lalu.

Itu pertuduhan ke atas Yang Dipertua Pas Kangar, Yussaine Yahya yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Perlis, hari ini.

Bagaimanapun, Yussaine, 43, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Syariah, Mohamad Zaidi Abdullah.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Ketua Pendakwa Syarie, Siti Fatimah Ahmad Maulana manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Hajar Ahmad dan Nur Iman Nor Azmi.

Siti Fatimah memohon mahkamah supaya memberi jaminan sebanyak RM2,500 dengan dua penjamin di mana salah seorang daripadanya adalah penjawat awam.

Namun, permohonan itu dibantah oleh peguam tertuduh dengan alasan tidak relevan selain turut memohon agar jaminan tertuduh dapat dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pasukan peguam tertuduh untuk tertuduh dijamin sebanyak RM2,000 dengan dua orang penjamin.

Tertuduh kemudian membayar jaminan dan mahkamah menetapkan 18 Januari tahun hadapan untuk perbicaraan semula kes.

Mengikut pertuduhan, Yussaine didakwa menganjurkan satu ceramah agama dengan menjemput pendakwah bebas, Mohamad Wadi Anuar Ayub melalui program ‘Solat Tarawih dan Sembang Santai’ tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis berdasarkan Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006.

Perbuatan yang dilakukan mudir sebuah maahad tahfiz al-Quran di Kangar itu turut bercanggah dengan Titah Kenyataan Rasmi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengenai Pematuhan Terhadap Dasar dan Peraturan Berkaitan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis.

Yussaine didapati melakukan perbuatan berkenaan antara jam 8.30 malam hingga 10.30 malam di Maahad Tahfiz al-Quran Al Imam An Nawawi (MATIN) di Kampung Abi Padang Machang, Jalan Abi Batas Paip, Kangar pada 30 Mac lalu.

Sebelum ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) memanggil Mohamad Wadi Annuar atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi serta penganjur, Lajnah Dakwah dan Perkaderan Pas Kangar.

Mereka dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penyertaan pendakwah itu pada program berkenaan yang diadakan tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Perlis.

Ini berikutan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kangar oleh JAIPs selepas anggota penguat kuasa mereka dihalang oleh penganjur daripada bertemu dengan Ustaz Wadi yang mahu mengambil keterangan berhubung tindakan memberi ceramah di negeri terbabit.

Tiada ulasan: