"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa Syed Saddiq buat apa yang dia buat?

Mohsin Abdullah

Kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Muda (baca: beliau sendiri) akan “tetap komited menyokong usaha kerajaan dalam agenda pembangunan negara progresif yang memerlukan undi 2/3 dewan seperti agenda reformasi institusi.”

Jika begitulah keadaannya bolehkah ditafsir sebarang usaha kerajaan perpaduan di Parlimen tidak akan terjejas (asal ia progresif) walaupun sudah tidak menikmati majoriti 2/3 akibat langkah Syed Saddiq tarik balik sokongan, sekaligus keluar blok kerajaan. Oleh itu apa perlunya kecoh-kecoh yang kita dengar sekarang dan hentam menghentam antara Syed Saddiq dan pengkritiknya?

Namun mengapa Syed Saddiq keluar blok kerajaan in the first place? Kata beliau kerana membantah keputusan melepas tanpa membebaskan presiden Umno yang juga timbalan perdana menteri Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan dalam kes berkait Yayasan Akalbudi. Jelas Syed Saddiq menyalahkan kerajaan dan menyifatkan “tindakan kerajaan dilihat menormalisasikan rasuah”. Beliau menegaskan tidak mahu “bertolak ansur dengan perbuatan tidak berprinsip”. Nyata menurut beliau tindakannya berdasarkan prinsip.

Tetapi bagi Razlan Rafii, ahli majlis tertinggi Umno, alasan kes Zahid untuk tinggalkan blok kerajaan adalah “muslihat”. Kata beliau lagi, Syed Saddiq sudah buat keputusan keluar blok kerajaan perpaduan apabila Muda yang dipimpinnya bertembung dengan parti pemerintah persekutuan pada enam pilihan raya negeri tempoh hari. Untuk rekod, Muda meletakkan calonnya di beberapa kawasan bukan sahaja menentang calon Pakatan Harapan-Barisan Nasional tetapi juga Perikatan Nasional. Semua calon Muda kalah.

Untuk berlaku adil perlu juga diimbau apa kata Syed Saddiq ketika mengumumkan partinya akan bertanding PRN secara solo. Ketika itu beliau mendakwa Muda bertanding kerana “parti besar” tidak tunaikan manifesto. Boleh disimpulkan beliau merujuk PH dan jelas beliau bercakap mengenai prinsip. Namun beliau mengakui tindakan bertanding solo pada PRN juga kerana pihaknya “tidak diundang langsung” oleh PH ke mesyuarat pembahagian kerusi.

Imbau beberapa bulan sebelum itu Syed Saddiq pernah meluahkan rasa kecewa kerana permohonan Muda untuk menyertai PH secara formal tidak mendapat apa-apa respon. Adalah dipercayai PKR kurang minat Muda menyertai PH. Ada pihak mendakwa ini kerana terdapat kalangan pemimpin muda PKR melihat Syed Saddiq sebagai ancaman. Namun penghalang utama ialah ramai dalam dan luar PH melihat Syed Saddiq proksi Dr Mahathir Mohamad dan trojan horse – semuanya beliau nafikan tetapi terus menghantuinya sehingga ke hari ini. Pun begitu bolehkah semua faktor yang disebut ini mencetuskan keadaan retak menanti belah?

Berbalik keputusan kes Zahid yang digunakan Syed Saddiq sebagai sebab beliau keluar blok kerajaan. Semasa keputusan diumumkan beliau menzahirkan rasa tidak puas hati lantas mengancam akan tidak menyokong kerajaan. Reaksi ahli majlis tertinggi Umno Puad Zarkashi begini: “tarik sahaja sokongan kalau Muda anak jantan tulen. Tak payah ancam-ancam.” Bagi saya sesiapa pun akan melenting dan kota apa yang dikata jika dicabar begitu.

Selain memberitahu Muda tidak perlu beri amaran, Puad juga berkata Muda tidak perlu turun ke jalan raya sebagai protes. Sebaliknya buatlah tindakan yang dinyatakan. Tindakan sudah diambil Syed Saddiq dan kini diberitakan Muda bersama pertubuhan masyarakat sivil merancang demonstasi pada masa terdekat. Syed Saddiq bagaimanapun pun mendakwa tidak ada hasrat (setakat ini) menyertai perhimpuan Pemuda PN, yang dikatakan akan diadakan pada 16 Sept ini. Hakikatnya Muda dan PN senada dalam isu kes Zahid.

Kolumnis Malaysiakini, P Gunasegaram mengaju persoalan adakah Syed Saddiq benar-benar seorang yang berprinsip atau seorang yang bijak memaparkan “opportunistic political stunt” dan menunjuk kuasa yang beliau ada untuk menafikan majoriti 2/3 di Parlimen.

Kata Gunasegaram, seorang wartawan veteran, jika prinsip menjadi keutamaannya, Syed Saddiq mesti bertanya diri sendiri bagaimana beliau boleh menjadi Ahli Parlimen yakni menerusi kerjasama dengan PH yang bukan sahaja tidak meletak calon menentangnya tetapi menyokongnya sehingga menang di Parlimen Muar pada PRU14.

“Sebagai seorang yang berperinsip seperti yang didakwa beliau harus mengosongkan kerusinya dan mendapatkan mandat baharu rakyat yang mengundinya dulu yang berpandu keyakinan beliau akan sokong PH,” kata Gunasegaram. Saya perlu mencelah jika ini dilakukan Syed Saddiq beliau akan hilang hak bertanding untuk tempoh yang lama mengikut perundangan pilihan raya negara.

Apa pun Syed Saddiq sudah mengatakan keengganan tunduk terhadap desakan beberapa ahli politik supaya beliau mengosongkan kerusinya dan sebaliknya beliau menuntut pendesak yang perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

Saya akhiri dengan catatan Zin Mahmud, seorang lagi wartawan veteran yang ditulis menurutnya “saja untuk peringatan”. Lalu beliau mengingatkan semua “Syed Saddiq menjadi Ahli Parlimen atas mandat dari pengundi Muda dan Pakatan Harapan sehingga penggal berakhir. Antara mandat itu ialah menyokong PH menjadi kerajaan dan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.”

Benar. Suka atau tidak itu realiti.

Tiada ulasan: