"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ekonomi Mahathir Firaunik, kata Pas sebelum ini

HarapanDaily.com

Seorang bekas pemimpin kanan Pas mengingatkan parti itu pernah menggelarkan model ekonomi Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai firaunik.

Datuk Mohd Nakhaie Ahmad yang kini Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkata, adalah suatu yang ganjil apabila Pas melantik Tun Mahathir sebagai penasihat ekonomi bagi empat negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN).

Beliau berpendapat tidak wajar Pas memilih bekas Perdana Menteri dua kali berkenaan sebagai penasihat ekonomi bagi negeri-negeri yang diperintah oleh Pas iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

“Ini kerana Pas sepatutnya membangun ekonomi Islam. Tun Mahathir bukan ahlinya.

“Haji Hadi (Presiden Pas) lebih layak kerana kepakarannya dalam pengetahuan mengenai ekonomi Nabi Yusuf yang boleh diubah suai dengan kondisi ekonomi Malaysia,” kata Nakhaie menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Terdahulu, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dilapor dalam proses membentuk satu kumpulan negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) dengan Tun Mahathir sebagai ‘penasihatnya tidak rasminya.’

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dipetik berkata menteri besar empat negeri terbabit akan mengadakan perbincangan untuk pembentukan kumpulan yang berfokus kepada pembangunan ekonomi.

Menurutnya, kesemua menteri besar berkenaan secara prinsipnya bersetuju untuk mewujudkan kerjasama dan beliau sendiri sudah mengarahkan ahli Exco berkaitan untuk berbincang dengan rakan mereka di tiga negeri lain di bawah PN.

Beliau memberitahu peranan Tun Mahathir secara spesifiknya memberikan nasihat mengenai tatakelola berkesan untuk memastikan kumpulan itu diuruskan dengan efektif.

Jelasnya, Tun Mahathir juga berperanan untuk menghubungkan empat negeri itu dengan pelabur seperti Jepun dan Korea Selatan yang beliau ada hubungan yang baik.

Mengulas lanjut, Nakhaie berpendapat Pas lebih wajar Pas memanfaatkan pakar-pakar ekonomi Islam di Malaysia dan dunia untuk merancang pembangunan ekonomi Islam di negeri-negeri Pas sebagai model pembangunan ekonomi Islam.

“Jika benar Pas melantik Tun Mahathir, saya kira sesuatu yang ganjil kerana model ekonomi Tun Mahathir sebenarnya tidak Islamik.

“Meminjam kata-kata Pas sendiri model ekonomi beliau adalah firaunik,” kata Nakhaie lagi.

Tiada ulasan: