"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jasad 'makhluk asing' dibawa ke parlimen

Reuters
MAYAT dikatakan ‘makhluk bukan manusia' dibawa ke Kongres Mexico. FOTO Reuters
MAYAT dikatakan ‘makhluk bukan manusia' dibawa ke Kongres Mexico. FOTO Reuters
Mexico City: Sesi pendengaran luar biasa Kongres Mexico julung kali menyentuh isu hidupan asing dari angkasa lepas, dengan ahli Parlimen dimaklumkan bahawa 'penghuni bumi tidak bersendirian' di alam semesta ini.

Dua penemuan didakwa jasad 'makhluk bukan manusia' ditampilkan pada sesi pendengaran itu.

Pada sesi pendengaran mengenai Fenomena Anomali Tidak Dikenali (UAP), Selasa lalu, 'jasad' itu diketengahkan wartawan, Jaime Maussan, yang sudah lama memberi tumpuan kepada objek terbang tidak dikenali (UFO) dan mendakwa ia adalah makhluk asing dari luar angkasa.

Dua 'jasad' kecil yang dipamerkan dalam kotak itu dilihat mempunyai tiga jari pada setiap tangan dan berkepala lonjong.

"Spesimen berkenaan tiada kaitan dengan sebarang hidupan di bumi," dakwa Maussan yang memberitahu ia ditemukan berhampiran kawasan purba Nazca Lines di Peru pada 2017.

Katanya, 'jasad' terbabit berusia kira-kira 1,000 tahun berdasarkan hasil analisis oleh Universiti Autonomi Kebangsaan (Unam) di Mexico.

Beliau berkata, ia adalah kali pertama bukti seumpama itu dikemukakan.

"Saya berpandangan bahawa ia jelas adalah spesimen bukan manusia dan tidak berkait dengan sebarang spesis lain di dunia kita. Semua kemungkinan adalah terbuka untuk siasatan oleh mana-mana institusi saintifik. Kita tidak bersendirian," katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Saintifik untuk Kesihatan, Tentera Laut Mexico, Jose de Jesus Zalce Benitez, berkata, pemeriksaan sinar-X, konstruksi semula secara tiga dimensi (3D) dan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan ke atas hasil penemuan terbabit.

"Saya boleh mengesahkan bahawa jasad-jasad ini tidak mempunyai kaitan dengan manusia," katanya.

Unam menerbitkan semula kenyataan yang kali pertama dikeluarkan pada 2017, dengan memaklumkan bahawa kerja dilaksanakan National Laboratory of Mass Spectrometry with Accelerators (Lema) itu hanya bertujuan menentukan usia sampel terbabit.

"Kami tidak membuat kesimpulan mengenai asal usul sampel berkenaan," menurut kenyataan itu.
-hmetro 

Tiada ulasan: