"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Puad Zarkashi: Keluar kerajaan ‘helah’ Syed Saddiq mahu jawatan

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno mendakwa tindakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meninggalkan blok kerajaan adalah “helah” untuk beliau menuntut jawatan dalam pentadbiran Anwar Ibrahim.

Menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Muar itu sebagai tidak bermaruah, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi berkata perdana menteri tidak wajar “tunduk terhadap politik separuh jantan” presiden Muda.

“Menggunakan kelebihan satu kerusi sebagai penentu kerajaan majoriti dua pertiga tidak bermaruah kerana dia sendiri tidak konsisten dari segi prinsip.

“Sebenarnya Syed Saddiq masih mencari jalan agar dia dilayan dan diberi jawatan,” katanya kepada FMT.

Muda mempunyai satu kerusi Parlimen dan DUN iaitu Puteri Wangsa, Johor, masing-masing menerusi Syed Saddiq dan timbalan presiden, Amira Aisya Aziz.

Puad yang mengulangi desakan supaya Syed Saddiq mengosongkan kerusi Muar berkata, bekas menteri belia dan sukan itu perlu berani menerima hukuman daripada rakyat menerusi gelanggang pilihan raya.

“Kata Syed Saddiq, ‘biar saya dihukum dari hilang prinsip dan berdosa besar’… kalau begitu kosongkan segera kerusi Parlimen Muar.

“Biar rakyat buat hukuman. Kalau tidak berani rakyat buat hukuman melalui pilihan raya itu maknanya Syed Saddiq tidak berani dihukum,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq berkata beliau enggan mengosongkan kerusi berkenaan kerana menang Parlimen itu menerusi panji Muda, sebaliknya mencabar pihak yang ghairah mahu melawan rasuah berbuat demikian.

Ia susulan keputusan beliau keluar daripada blok kerajaan untuk menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga, sebagai protes terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan berkait kes Yayasan Akalbudi.

Tindakan itu menyebabkan kerajaan Anwar Ibrahim kini kehilangan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

Petang tadi, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mengingatkan Syed Saddiq bahawa kemenangan Muda di Parlimen Muar adalah kerana ihsan PH, yang sanggup memberi laluan kepada parti itu pada PRU15.

Tiada ulasan: