"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kebakaran tahfiz 2017: Lelaki keka

Malaysiakini

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan seorang lelaki berusia 22 kekal di penjara selama tempoh diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, atas sabitan kesalahan membunuh 23 penghuni tahfiz dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Abu Bakar Jais secara sebulat suara menolak rayuan lelaki itu berhubung kejadian di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat di Wangsa Maju, pada 14 Sept 2017.

Tertuduh merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Ogos 2020 yang mendapati dia bersalah atas 23 pertuduhan membunuh dan memerintahkan dirinya ditahan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Tertuduh berusia 16 tahun ketika kejadian dan tidak berdepan hukuman mati.

Dalam penghakiman mereka, Abu Bakar yang bersidang bersama Hakim See Mee Chun, dan Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali berkata Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam sabitan dan menjatuhkan hukuman.

Ruzima yang membacakan penghakiman itu berkata, mahkamah jenayah mendapati bahawa keterangan saksi pendakwaan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari empat lokasi berbeza menunjukkan tertuduh terlibat dengan sengaja menyebabkan kebakaran.

Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa kamera litar tertutup (CCTV) itu terletak di pusat tahfiz yang terbakar serta di tiga lagi lokasi berdekatan iaitu pusat snuker, stesen minyak dan rumah jiran tertuduh.

Pada 17 Ogos 2020, lelaki berusia 22 tahun itu disabitkan oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan membunuh sebelum diperintahkan supaya ditahan di penjara selama tempoh diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Pihak pendakwaan memanggil seramai 71 saksi, manakala enam saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 30 Mei 2018.

Pada kejadian pada 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz berkenaan terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat berkenaan yang terbakar.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini, antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi 14 September 2017.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 97(2) akta sama.

Tiada ulasan: