"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Keluar dari Muda atau pulangkan semula Puteri Wangsa kepada AMANAH’

HarapanDaily.com

AMANAH Johor memberi dua pilihan kepada wakil rakyat tunggal Muda dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Amira Aisya Abd Aziz yang mewakili Puteri Wangsa.

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan (gambar atas), berkata Amira perlu memilih untuk menyertai AMANAH atau meletak jawatan, sekali gus mengosongkan kerusi berkenaan.

Tegasnya yang juga Ahli Parlimen Sri Gading, langkah itu perlu berikutan kerusi itu adalah milik PH yang sebelum ini diberikan kepada AMANAH.

Beliau yang juga Pengerusi AMANAH Johor mengingatkan Amira bahawa kerusi DUN Puteri Wangsa yang didudukinya itu adalah ihsan AMANAH kepada MUDA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tahun lalu.

“Amira Aisya (Timbalan Presiden MUDA) kena ingat kerusi tu adalah ihsan daripada AMANAH yang kita beri pada PRN Johor.

“Jadi, dia ada dua pilihan sama ada keluar dari Muda sertai AMANAH atau pulangkan semula kerusi DUN Puteri Wangsa kepada AMANAH dan letak jawatan. Itulah maruah sepatutnya.

“Apabila Presiden (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) bersikap begitu (tarik sokongan kepada PH) dia seolah-olah macam kacang lupakan kulit.

“Patutnya dia (Syed Saddiq dan Amira Aisya) boleh berfikir, ini kerusi yang telah kita bagi berdasarkan persefahaman ‘electoral pact’ beri laluan kepada Mud.

“Namun, dia buat tindakan sedemikian rupa, sepatutnya dia ada maruah,” dipetik BH, hari ini.

Aminolhuda berkata, menerusi pakatan pilihan raya pada PRN Johor, PH iaitu AMANAH dan DAP bersetuju memberikan enam DUN milik dua parti itu kepada Muda iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

“Pimpinan Muda perlu belajar sejarah, jangan gopoh dan semata-mata hanya membuat langkah populis sahaja. Ingat kembali bagaimana mereka peroleh kemenangan di Puteri Wangsa.

“PH yang bagi laluan berdasarkan kepada pakatan pilihan raya, tetapi sekarang mereka mengkhianati kami selepas tarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Kelmarin, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dan berada di blok ketiga dalam Dewan Rakyat.

Saddiq berkata, keputusan itu sebagai protes terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan berkait kes Yayasan Akalbudi sebagai permulaan menormalisasikan rasuah.

Tindakan Ahli Parlimen Muar berkenaan keluar dari blok kerajaan itu sekaligus menyebabkan Kerajaan Perpaduan tidak dapat mengekalkan majoriti dua pertiga.

Tiada ulasan: