"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wakil rakyat PH persoal demo PN laung 'reformati'

Martin Vengadesan

Wakil rakyat PH menyokong hak PN untuk mengadakan berdemonstrasi hari ini namun mereka juga menyoal kewibawaan pembangkang dalam menegakkan kebebasan dan melaksanakan pembaharuan.

"Kami menghormati hak mereka berhimpun. Namun, mereka yang melaungkan 'reformati' itu malangnya juga kurang wibawa untuk pembaharuan.

"Untuk mengatasi kami dalam reformasi, sila tunjukkan kepada kami agenda reformasi anda di (negeri yang ditadbir PN) Perlis, Terengganu, Kedah dan Kelantan.

“Selain melantik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat (di negeri-negeri ini), kongsikan apa yang telah anda lakukan dalam tempoh 10 hingga 30 tahun mentadbir negeri anda,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung.

Sementara itu, Adun Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari berkata PN bersikap oportunis dalam mengadakan demonstrasi itu.

“Mereka ini jelas perkauman dan berfahaman haluan kanan dan kami telah melihat warna sebenar mereka apabila mereka membentuk kerajaan selepas Langkah Sheraton.

"Walaupun mereka mungkin menuntut hak di bawah perlembagaan, mereka tidak mempunyai hala tuju yang jelas untuk reformasi sistem.

"PN tidak melakukan apa-apa semasa mereka memegang jawatan, dan ini mempertikaikan kesahihan tunjuk perasaan mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Perhimpunan Hari Malaysia yang diketuai PN hari ini menyaksikan lebih 1,000 penyokong berdemonstrasi lebih sejam di jalan-jalan berhampiran kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur.

Polis menganggarkan jumlah orang ramai sekitar 850 orang manakala penganjur mendakwa seramai 10,000 orang ramai hadir perhimpunan PN itu.

Tiada kehadiran polis pencegah rusuhan di jalan raya tetapi anggota beruniform berdiri dalam dua barisan dan menghalang orang ramai daripada membelok ke jalan menuju ke balai polis Dang Wangi.

Perhimpunan sebelum itu dimulakan dengan solat Zuhur yang diadakan di Masjid Jamek Kampung Baru.

Walaupun penganjur menyifatkan perhimpunan itu sebagai sambutan Hari Malaysia, fokus utamanya membantah keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan di mahkamah.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim (gambar, atas) berkata pihak berkuasa melakukan tindakan yang betul apabila membenarkan demonstrasi PN itu berlangsung.

"Perhimpunan PN petang ini sah mengikut undang-undang mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

"Akta Perhimpunan Aman 2012 digubal untuk memudahkan rakyat berhimpun di mana-mana, pada bila-bila masa.

“Malaysia sebuah negara demokrasi dan kita harus meluaskan ruang untuk rakyatnya menyatakan pendapat dan hak mereka untuk berkumpul dan mengadakan perhimpunan aman,” katanya kepada Malaysiakini.

Tiada ulasan: