"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penahanan Chegu Bard tiada kaitan Himpunan Selamatkan Malaysia

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ditahan hari ini, susulan keengganannya hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan enam kes membabitkan dirinya.

Difahamkan, beliau ditahan di hadapan Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut, di sini pada 8 malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penahanan itu tiada kena mengena dengan Himpunan Selamatkan Malaysia, dijangka Sabtu ini.

"Berdasarkan apa yang diberitahu oleh pegawai penyiasat, beliau (Chegu Bard) memberitahu tidak akan hadir (memberi keterangan).

"Sedangkan kalau kita lihat mantan Perdana Menteri sekali pun memberi kerjasama, kita beri tarikh dan mereka hadir rakam percakapan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Menurutnya, Chegu Bard disiasat berhubung beberapa laporan yang dibuat terhadapnya, antaranya berkaitan ulasan mengenai isu rundingan konflik Malaysia-Indonesia membabitkan blok lautan Ambalat.

Selain itu katanya, siasatan turut berkaitan pendedahannya di media sosial berhubung dokumen sebuah jabatan kerajaan yang mengandungi maklumat sulit.

Mohd Shuhaily berkata, Chegu Bard sudah beberapa kali diminta hadir untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan, namun ia tidak diendahkan sehingga memaksa polis memohon waran tangkap daripada mahkamah.

"Kita (polis) dah cuba panggil beliau (dengan baik), malah kita dah kemukakan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah yang mana beliau terima notis itu dan tandatangan.

"Dia (Chegu Bard) enggan hadir ke mana-mana balai polis untuk dirakam percakapan justeru kami tidak mempunyai pilihan lain," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi liar berhubung tangkapan itu.

"Penangkapan ini tiada kena mengena dengan Himpunan Selamatkan Malaysia, Sabtu ini kerana beliau (Chegu Bard) bukan salah seorang pemohon untuk perhimpunan itu.

"Warganet boleh tafsir sendiri isu ini dari mana-mana sudut tetapi tugas saya adalah untuk menerangkan fakta tangkapan malam ini dan memberi maklumat secara terus," katanya.

Tiada ulasan: