Ho Kit Yen
Najib Razak (kiri) dan Irwan Serigar Abdullah didakwa bersama dengan enam pertuduhan salahguna RM6.6 bilion dana awam melibatkan pembayaran kepada IPIC.
KUALA LUMPUR: Kes pecah amanah jenayah (CBT) Najib Razak dan Irwan Serigar Abdullah berhubung pembayaran RM6.6 bilion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) ditetapkan untuk bicara selama 30 hari bermula 4 Jun hingga 31 Julai 2024.
Ia susulan Timbalan Pendakwa Raya Saifuddin Hashim Musaimi membuat permohonan itu kepada Mahkamah Tinggi hari ini bagi kes didengar tahun depan.
Peguam Shafee Abdullah dan K Kumaraendran, yang masing-masing mewakili Najib dan Irwan, bersetuju dengan cadangan itu.
Terdahulu, Kumaraendran mencadangkan kes didengar pada Januari mengambil kira pertuduhan CBT dikenakan terhadap bekas ketua setiausaha perbendaharaan itu sudah berlarutan hampir lima tahun.
“Beliau tidak boleh keluar negara dan tidak dapat meneruskan apa jua perkembangan kerjaya (kerana berdepan tuduhan),” katanya.
Shafee juga menuntut pihak pendakwaan membuat pendirian berkait dakwaan memo bocor berhubung kes terbabit.
Katanya, timbalan pendakwa raya dan pegawai penyiasat mendakwa dalam memo 2019 bahawa tuduhan CBT dikenakan terhadap Najib dan Irwan dikatakan “tidak layak dibawa ke mahkamah” dan “tidak cukup bukti”.
Bagaimanapun, Kumaraendran tidak bersetuju sambil menyatakan mahkamah itu bukan forum wajar untuk perkara berkenaan dibangkitkan.
Saifuddin berkata, beliau enggan mengulas.
Shafee memberi isyarat bahawa pasukan pembelaan Najib akan memanggil Tommy Thomas untuk memberi keterangan, sambil mendakwa bekas peguam negara itu terlibat dalam “penyalahgunaan proses”.
Pada 2018, bekas perdana menteri itu dan Irwan secara bersama didakwa dengan enam pertuduhan menyalahgunakan RM6.6 bilion dana awam membabitkan pembayaran kepada syarikat IPIC milik Abu Dhabi.
Peguam masing-masing sebelum ini cuba memohon agar anak guam mereka dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh mahkamah atas alasan perbicaraan tidak pernah berlangsung.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan itu dengan menyatakan pihak pendakwaan telah bersedia bagi perbicaraan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan