"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Papagomo didenda RM2,100 cederakan, sebut kata kurang sopan terhadap Syed Saddiq

Bernama

KAJANG: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,100 ke atas bekas exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, yang didapati bersalah mencederakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan menyebut perkataan kurang sopan selain menghina Ahli Parlimen Muar itu.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Wan Muhammad Azri, 40, pada akhir kes pembelaan.

“Oleh itu, tertuduh (Wan Muhammad Azri) didapati bersalah atas dua tuduhan. Bagi pertuduhan pindaan, iaitu menyebut perkataan kurang sopan dan menghina, tertuduh didenda RM100 dan penjara sehari jika gagal membayar denda manakala tuduhan mencederakan, tertuduh didenda RM2,000 dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda,” katanya.

Muhammad Noor Firdaus dalam penghakimannya berkata, bagi tuduhan menyebut perkataan kurang sopan serta menghina, ia perbuatan yang mengganggu-gugat keamanan.

“Bagi tuduhan mencederakan, ia hanya melibatkan beberapa pergerakan kecil jari, namun mendatangkan rasa sakit kepada mangsa (Syed Saddiq) yang juga saksi dalam kes tersebut.

“Sehubungan itu, hukuman (mencederakan) haruslah setara dengan kekasaran yang telah dilakukan,” kata majistret itu.

Selepas menjatuhkan hukuman, Muhammad Noor Firdaus mengingatkan tertuduh dan orang awam yang berada di galeri awam dengan memetik sepotong ayat hadis yang membawa maksud “seorang Muslim (yang sempurna) ialah seorang yang selamat daripada lidah dan tangannya”.

“Mahkamah dimaklumkan tertuduh menuntut di sebuah sekolah pondok, mungkin ini adalah masa yang tepat untuk saya mengingatkan diri sendiri dan semua tentang apa yang telah ditinggalkan kepada kita,” katanya.

Ketika merayu hukuman, peguam Nik Saiful Adli Burhan mewakili Wan Muhammad Azri memohon anak guamnya dikenakan hukuman berbentuk denda paling rendah atas alasan tertuduh kini hanya peniaga dan pendapatannya tidak menentu.

“Selepas kejadian ini, beliau tidak pernah melakukan kesalahan termasuk kekerasan. Ini membuktikan beliau seorang yang baik dan telah insaf atas perbuatannya,” katanya sambil menambah tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik kepada mahkamah sepanjang perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim memohon hukuman sewajarnya sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

“Mahkamah perlu mengambil kira tertuduh merupakan orang yang dikenali masyarakat dan sepatutnya memberi contoh baik kepada umum.

“Mangsa telah mengalami kecederaan dan percakapan tertuduh mungkin dianggap biasa oleh tertuduh tetapi bukan dianggap biasa bagi individu lain,” katanya.

Seramai 11 saksi pendakwaan termasuk Syed Saddiq memberikan keterangan pada perbicaraan bermula 4 Nov 2019 manakala pada peringkat pembelaan seramai enam saksi termasuk Wan Muhammad Azri memberikan keterangan.

Pada 21 Feb lepas, Mahkamah Majistret memerintahkan Wan Muhammad Azri membela diri atas tuduhan mencederakan Syed Saddiq dan tuduhan pindaan iaitu menyebut perkataan kurang sopan dan menghina Syed Saddiq.

Sebelum ini, beliau didakwa atas tuduhan mengaibkan kehormatan Ahli Parlimen tersebut mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Wan Muhammad Azri menghadapi tuduhan menyebut perkataan kurang sopan dan menghina iaitu “kau bodoh” terhadap Syed Saddiq, pada 11.05 pagi, 16 Feb 2019, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Beliau turut didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap presiden Muda itu pada bahagian leher dan bahu, di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Tiada ulasan: