"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muda, PSM desak Zahid letak jawatan TPM

Faisal Asyraf

PUTRAJAYA: Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mahu Presiden Umno Zahid Hamidi melepaskan jawatan timbalan perdana menteri.

Mereka berkata beliau mesti berada di luar kerajaan agar boleh dituduh dan dibicarakan semula bagi kes berkait Yayasan Akalbudi, dan membersihkan namanya di mahkamah.

Setiausaha Agung Muda Amir Hadi mendakwa ada konflik kepentingan dalam pelepasan bersyarat baru-baru ini memandangkan Jabatan Peguam Negara (AGC) di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan Zahid merupakan timbalan perdana menteri.

“Demi memastikan ketelusan, beliau mesti meletak jawatan,” katanya kepada pemberita di perkarangan AGC.

Terdahulu, Muda dan PSM menyerahkan memorandum kepada AGC menuntut agensi itu menjelaskan keputusan memohon Zahid dilepas tanpa bebas, dalam kes Yayasan Akalbudi.

Zahid berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram. Beliau dituduh menggelapkan jutaan ringgit daripada yayasannya itu, dan menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri, antara 2013 hingga 2018.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini bertegas beliau tidak terlibat, susulan kritikan terhadap DNAA tersebut serta dakwaan campur tangan.

Beliau menjelaskan bekas peguam negara Idrus Harun membuat keputusan itu dan bertegas mahu “jalankan tanggungjawab” berkaitan kes Zahid sebelum tamat berkhidmat, pada 5 Sept.

Dalam pada itu, Amir berkata kerajaan mesti memberi garis masa bagi usaha memisahkan Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Pendakwa Raya.

Mereka memberi tempoh kepada AGC sehingga 16 Sept untuk menunaikan tuntutan, dan jika gagal memenuhinya tunjuk perasaan akan diadakan.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan ia akan menganjurkan tunjuk perasaan berkait DNAA Zahid pada tarikh sama.

Tiada ulasan: