"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyokong kerajaan cadang kembalikan KL kepada Selangor

Muhammad Yusri Muzamir
yusri.muzamir@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat kerajaan mencadangkan Kuala Lumpur dikembalikan kepada Selangor dalam usaha mewujudkan Metropolitan Mega KL yang baharu.

Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) berkata cadangan itu bagi memastikan Metropolitan Mega KL dapat dibangunkan secara makmur dan lestari, selain mengambil kira pembangunan di Kuala Lumpur sudah mencapai tahap tepu.

Katanya, perancangan pengangkutan awam bersepadu, penambahan rumah mampu milik serta perancangan bandar secara holistik amat diperlukan supaya Lembah Klang tetap berdaya saing berbanding Bangkok, Thailand; Jakarta, Indonesia dan Ho Chi Minh, Vietnam.

"Kita tidak nafikan Kuala Lumpur dan Selangor berkembang pesat dalam empat dekad ini. Selangor menrekodkan 11.9 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) manakala Kuala Lumpur (9.2 peratus).

"Peratusan ini melepasi pertumbuhan KDNK negara sebanyak 8.7 peratus, pada 2022.

"Justeru, saya mencadangkan metropolitan Kuala Lumpur diwujudkan dengan pengembalian Kuala Lumpur ke Selangor supaya Metropolitan Mega KL dapat terus dibangunkan secara makmur dan lestari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Chean Chung berkata, pihaknya yakin langkah berkenaan antara lain mampu memudah cara pembangunan sedia ada, selain pengembalian itu membolehkan warga Kuala Lumpur menikmati 42 Inisiatif Iltizam Rakyat acuan kerajaan Selangor.

Katanya, pengembalian itu juga membolehkan pengangkutan awam dirancang secara lebih rapi, selain membantu merealisasikan projek perumahan mampu milik susulan bank tanah yang dimiliki Selangor.

"Gandingan Kuala Lumpur dan Selangor juga membolehkan Lembah Klang menjadi antara hub penting di rantau ini, setanding dengan metropolitan mega lain.

"Anak muda turut menikmati undi kedua untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri yang berperanan memastikan infrastruktur asas lengkap, selain dapat memberi sumbangan dan bantuan terus kepada penduduk.

"Idea ini mungkin kelihatan agak radikal, tetapi jangan lupa Kuala Lumpur pernah menjadi ibu negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata, pengembalian Kuala Lumpur ke Selangor itu wajar dibuat bagi memenuhi keperluan terkini peningkatan sosioekonomi dan pengurusan pentadbiran lebih cekap.

"Sudah tiba masanya kita merangka pembangunan Selangor dan Kuala Lumpur yang lebih terancang dan berdaya saing, selain mewujudkan pengangkutan awam lebih moden, perumahan mampu milik serta berkualiti, bukan hanya di Lembah Klang, tetapi untuk seluruh negara.

"Hari ini kita lantang mahu mengatakan Selangor mampu menjadi 'economic powerhouse' yang akan bersaing dengan bandar mega lain seperti Singapura, Jakarta dan Hanoi.

"Jadi, cuba bayangkan sinergi ekonomi yang mampu kita cipta dan peroleh daripada gabungan Kuala Lumpur dan Selangor ini? Putrajaya pula boleh kekal sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan," katanya.

Tiada ulasan: