"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat terima perjuangan Rahmah, legasi Salahuddin segar di hati

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF AKMAL 

Kemenangan dua calon AMANAH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram membuktikan perjuangan Rahmah diterima rakyat.

Naib Pengerusi AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa turut menyifatkan legasi ditinggalkan penyandang kedua-dua kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub masih segar dalam hati pengundi.

“Tahniah YB Aminolhuda selaku Pengerusi AMANAH Johor dan pasukan petugas di Simpang Jeram dan Pulai. Suhaizan dan Ir Nazri bakal meneruskan suara Rahmah dalam Kerajaan Madani kelak.

“Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Johor kini telah menemui tempo dan diharapkan menjadi model yang boleh dibaiki di seluruh negara bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Cakap-cakap Kerajaan Perpaduan akan bertukar pada Ogos hanyalah bisikan-bisikan jahat yang mahu melihat perpaduan dan kestabilan ditumbangkan.

“Bisikan halus jahat ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat apakah Perikatan Nasional (PN) ini tumpuannya semata-mata mahu menjatuhkan kerajaan atau hendak membina negara?,” soal beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Mujahid yang juga Pengerusi PH Perak, kemenangan calon Perpaduan adalah simbolik kepada penolakan politik toksik perkauman dan eksploitasi agama yang didendangkan Pas/PN.

Beliau berkata, lagu fitnah untuk melagakan keharmonian rakyat dan sesama umat Islam telah ditolak oleh pengundi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

“Kemenangan kedua-dua calon daripada AMANAH itu sepatutnya diraikan seluruh rakyat yang mencintai perpaduan dan membenci para pemfitnah.

“Syabas, tetapi barang diingatkan bahawa misi mengekalkan momentum gelombang perpaduan tidaklah mudah, perjalanannya masih panjang.

“Kerana gelombang fitnah tidak akan berhenti daripada membisik dengan suara halus ‘waswasil khannas’ untuk mengelirukan rakyat dari kalangan ‘minal jinnati wannas’.

“Berlindunglah dengan selalu menyebut ‘Hasbunallah wa Nikwat Wakil, Nikmal Maula wa Nikman Nasir’,” katanya.

Dengan kemenangan malam tadi, bekas Menteri Agama itu turut merakamkan ucapan tahniah kepada gelombang perpaduan kerana terus memberi harapan kepada rakyat yang mahukan kestabilan dan Malaysia yang aman fitnah.

“Tahniah buat jentera PH-BN yang bertungkus lumus memastikan kemenangan calon Perpaduan di Pulai dan Simpang Jeram,” ujarnya lagi.

Semalam, PH berjaya mengekalkan penguasaan di Parlimen Pulai apabila calonnya daripada AMANAH, Suhaizan Kaiat, menang di kerusi berkenaan dengan majoriti 18,641.

Suhaizan yang juga bekas Speaker DUN Johor meraih 48,283 undi menewaskan Zulkifli Jaafar daripada PN dengan 29,642 undi, manakala Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas pula, meraih 528.

Satu lagi kemenangan dilakar PH yang berjaya mengekalkan kerusi DUN Simpang Jeram apabila menewaskan PN dengan majoriti 3,514 undi.

Ir Ts Nazri Abdul Rahman juga daripada AMANAH meraih 13,844 undi menewaskan pakar bedah, Dr Mohd Mazri Yahya yang mendapat 10,330 undi, manakala S Jegananthan mewakili Bebas hanya meraih 311 undi.

PRK di kedua-dua kawasan itu diadakan serentak berikutan penyandang kedua-dua kerusi terbabit, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Tiada ulasan: