"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH Sabah tidak bincang lantik Musa Aman

ARIF ATAN

Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini menafikan laporan yang mendakwa bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman bakal mengetuai gabungan terbabit.

Blok Kerajaan Perpaduan itu menegaskan hal tersebut tidak sesekali dibincang dan diputuskan dalam mana-mana mesyuarat PH negeri.

Reaksi tersebut susulan laporan berita yang tular di media sosial bertajuk “Musa Aman akan ketuai PH Sabah?” yang disifatkan PH Sabah sebagai menimbulkan kekeliruan rakyat.

Penegasan menerusi kenyataan media bersama itu membabitkan Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick; Pengerusi PKR negeri, Datuk Sangkar Rasam; Pengerusi DAP negeri, Datuk Frankie Poon dan Pengerusi AMANAH negeri, Lahirul Latigu.

“PH Sabah amat terkejut dengan laporan berita itu yang telah tular dalam media sosial dan menimbulkan kekeliruan serta kerisauan rakyat.

“Kami secara sebulat suara menafikan perkara ini dan ia tidak sesekali dibincang dan diputuskan dalam mana-mana mesyuarat PH Sabah,” menurut kenyataan itu.

PH Sabah berpendirian bahawa mana-mana keputusan penting yang berhubung kait dengan mandat dan keyakinan rakyat harus dipertimbangkan, diteliti dan diperhalusi sebulat suara pada peringkat pimpinan tertinggi.

Dalam masa sama, PH Sabah memaklumkan akan bertemu dan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara terbabit termasuk hala tuju menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan.

Tiada ulasan: