"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muda bertanding pun harap ehsan PH, kuasa ketiga Syed Saddiq takkan kemana

KUASA KETIGA SYED SADDIQ TAKKAN KE MANA, SEHELAI PUN BULU ROMA ANWAR TAK JATUH
Shahbudin Husin

Setelah didesak banyak pihak, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya akur untuk menarik diri dan tidak lagi menyokong kerajaan perpaduan.

Presiden Muda itu bagaimanapun mengumumkan pendiriannya untuk tidak bersama blok pembangkang PN, sebaliknya memilih untuk menjadi pembangkang kuasa ketiga di Dewan Rakyat.

Dalam hal ini, banyak pihak telah memberi respon atau reaksi terhadap keputusan yang dibuat Ahli Parlimen Muar itu.

Ada yang memuji dan tidak kurang yang menghentam beliau.

Tetapi, meskipun Syed Saddiq tidak lagi menyokong kerajaan perpaduan, pilihannya untuk menjadi kuasa ketiga di Parlimen bukanlah pilihan yang mampu membawanya ke mana-mana.

Dengan hanya satu kerusi saja dimiliki di Parlimen, berbanding kerajaan perpaduan ada 147 dan PN memiliki 74, peranan kuasa ketiga Muda hampir tidak bernilai apa-apa.

Sebagai peringatan kepada Syed Saddiq untuk renungannya, tiada mana-mana parti pernah berjaya dengan impian untuk menjadi kuasa ketiga di negara ini.

Pada PRU 2018, ketika berlaku pertembungan antara PH dan BN ketika itu, Pas telah memilih untuk menjadi kuasa ketiga dengan harapan mereka mampu menjadi penentu dalam pembentukan kerajaan.

Impian Pas itu terbukti gagal di mana mereka hanya berjaya menang 18 kerusi Parlimen saja dan PH mampu membentuk kerajaan tanpa pertolongan sesiapa.

Pada PRU 2022 lalu, Pejuang pimpinan Tun Mahathir Mohamad turut mahu menjadi kuasa ketiga di sebalik PH, BN dan PN saling bersaing untuk menjadi kerajaan.

Pejuang bukan saja kalah semua kerusi, malah hilang deposit di semua kerusi yang ditandinginya.

Apakah Muda yang hanya ada satu kerusi di Muar, itu pun menang pada PRU15 lalu dengan bantuan, sokongan serta laluan diberi PH, merasakan dirinya lebih hebat daripada Pas dan Pejuang dalam konteks berangan-angan sebagai kuasa ketiga?

Sebelum nak bercita-cita mahu jadi kuasa ketiga, lebih baik Syed Saddiq tumpukan fikiran bagaimana untuk Muda mampu mempertahankan lagi kerusi Muar pada PRU selepas ini, sambil memastikan kes mahkamahnya tidak sampai menghumbannya ke penjara.

Di waktu yang sama, tiada majoriti dua pertiga di Parlimen akibat penarikan sokongan Syed Saddiq itu sebenarnya juga tidak memberi apa-apa kesan kepada kerajaan perpaduan.

Tiada apa-apa yang terganggu dalam pentadbiran seharian kerajaan, bahkan kelulusan rang undang-undang di Parlimen hanya memerlukan undi majoriti melalui undian belah bahagi, bukan sokongan dua pertiga Ahli-Ahli Parlimen.

Lebih daripada itu, majoriti dua pertiga juga sudah tidak dimiliki oleh mana-mana Perdana Menteri dan kerajaan sejak tahun 2008 lagi.

Di banyak negara di dunia pula, kerajaan yang memiliki majoriti dua pertiga hanya boleh dibilang dengan jari saja sekarang ini.

Jadi, tak jatuh walau sehelai bulu roma Anwar Ibrahim pun dengan ketiadaan majoriti dua pertiga akibat tindakan Syed Saddiq itu.

Namun, untuk perjuangan masa depan Muda dan dirinya sendiri, Syed Saddiq harus sedar, bukan saja lebih banyak “bulu” mungkin tertanggal daripada tubuhnya, malah mungkin tak cukup “bulu” untuk dipertaruhkan demi survivalnya selepas ini.

Kecualilah, jika beliau tak malu, lalu sedia “menjilat” PN yang diketuai Mahiaddin Md Yasin yang pernah dituduhnya mengheretnya ke mahkamah sebelum ini semata-mata kerana dia enggan menyokong bekas Perdana Menteri yang gagal itu. – ShahbudinHusin 11/09/2023.

Tiada ulasan: