"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dulu PH cadang MP langgar keputusan whip parti hilang kerusi, tapi PN tolak

Malaysiakini

PN sendiri menentang cadangan PH untuk memperkenalkan undang-undang antilompat parti yang lebih ketat bagi membolehkan ahli parlimen mengosongkan kerusi sekiranya pendirian mereka bertentangan dengan whip parti masing-masing.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, yang menggotai jawatankuasa teknikal bagi menggubal akta berkenaan bersama dua lagi wakil PH, Gobind Singh Deo dan Hanipa Maidin pada 2022.

"Pendirian PH tindakan MP (ahli Parlimen) bertindak bertentangan keputusan whip parti di dalam dewan (dalam perkara seperti undian bajet, usul undi tidak percaya dan apa-apa RUU yang memberi kesan kepada kedudukan kerajaan) adalah dikira hilang kerusi dan pilihan raya kecil diadakan.

"Juga MP yang dipecat oleh parti kerana melanggar disiplin dan perlembagaan parti, dikira hilang kerusi.

“PN masa itu diwakili Hamzah (Zainuddin) dan Takiyuddin (Hassan). PN tidak setuju dengan cadangan PH di atas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Saifuddin berkata, disebabkan bantahan PN, Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku pengerusi jawatankuasa itu mengusulkan hanya cadangan yang mendapat konsensus semua parti akan diterima.

"Akhirnya keadaan bagaimana yang dikira MP hilang kerusi? Isytihar masuk parti lain. Isytihar jadi MP bebas. Isytihar sokong perdana menteri? Tidak hilang kerusi," kata Saifuddin.

Sementara itu, Wan Junaidi memberitahu Sinar Harian bahawa ketika dia mengetuai pasukan khas, dia sudah menyelesaikan sebarang kemungkinan kelompangan menerusi draf asal penggubalan RUU berkenaan.

Bagaimanapun katanya, draf asal yang disiapkan pada April 2022 itu ditolak jemaah menteri susulan terdapat empat menteri kabinet tidak bersetuju dengan salah satu klausa disertakan.

“Klausa itu menyatakan, kalau seseorang ahli Parlimen bertukar sokongan di dalam Dewan Rakyat terhadap blok berlawanan, mereka tetap akan dikira melompat parti walaupun tidak isytihar keluar atau dipecat parti.

“Apabila draf asal ditolak barisan kabinet, saya terpaksa mengadakan semula libat urus dengan semua parti politik dan merombaknya,” jelasnya.

Wan Junaidi berkata dia telah memberi amaran mengenai kelompangan akta itu kepada jemaah menteri pada April 2022.

“Saya sendiri terlibat banyak sesi libat urus bagi membincangkan draf RUU ini bersama ahli-ahli Parlimen setiap parti, namun ketika itu whip Bersatu tidak menyokong draf asal.

“Dengan Jemaah Menteri tetap mahukan kelulusan draf RUU Anti Lompat Parti dicapai secara konsensus, saya tiada pilihan lain.

“Saya turut akur apabila satu draf baharu RUU berkenaan yang disiapkan Peguam Negara bagi menggantikan draf asal saya, akhirnya diangkat ke Dewan Rakyat,” jelasnya.

Sejak bulan lalu empat Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar bagi mendapatkan peruntukan pembangunan sebanyak RM3 juta setiap tahun.

Semalam, Bersatu dilapor mendesak agar Akta Antilompat Parti dikaji semula susulan tindakan empat ahli parlimennya.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata kajian itu perlu dibuat kerana akta tersebut ada beberapa kelemahan.

Tiada ulasan: