"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bomoh didakwa cabul, rogol remaja perempuan

Malaysiakini

Seorang pengamal perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Muar hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual dan rogol terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun antara November tahun lepas sehingga Julai tahun ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Zemi Rahim, 50, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berkenaan yang ketika itu berusia 14 tahun, dalam sebuah bilik air di sebuah rumah di Kampung Tengah Paya Redan, Pagoh, dekat Muar, November tahun lepas.

Bagi pertuduhan tersebut, lelaki itu yang juga jurulatih Muay Thai didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat pula, tertuduh didakwa merogol mangsa yang juga pesakitnya, di alamat sama pada November tahun lepas, April 2023 serta Julai tahun ini, didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Daniel Munir sebelum itu memohon mahkamah supaya tidak membenarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan tertuduh merupakan satu jenayah berat dan serius, serta melakukan perbuatan keji itu berulang kali mengakibatkan mangsa kini hamil empat bulan.

Bagaimanapun katanya sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jumlah jaminan RM7,500 bagi setiap pertuduhan serta beberapa syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak berkomunikasi dengan mangsa.

Hakim Irwan Suaibon bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, yang tidak diwakili peguam selain menetapkan 12 Dis sebagai sebutan kes dan penyerahan laporan penuh perubatan dan laporan kimia.

Tertuduh sebelum ini pernah didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas empat pertuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, pada Oktober lepas.

- Bernama

Tiada ulasan: