"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lapan maut nahas cuba elak ditahan seludup migran

Bharianonline

HOUSTON: Lapan orang dilaporkan terbunuh dalam satu pertembungan kereta yang berlaku di Texas, Amerika Syarikat kelmarin.

Seorang pegawai polis dari Jabatan Keselamatan Awam Texas berkata, kejadian itu berlaku disebabkan kenderaan berkenaan cuba mengelak daripada ditahan ketika melakukan kegiatan menyeludup migran.

Polis berkata ketika kejadian, pemandu Honda putih itu membawa lima pendatang asing tanpa izin dan melarikan diri dari syerif di jalan raya kira-kira 100 kilometer dari sempadan Mexico.

Dalam kejadian itu, pemandu kenderaan berkenaan melepasi sebuah trak sebelum bertembung dengan sebuah kereta lain, sekali gus membunuh mereka yang berada dalam kenderaan.

Tujuh mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi dilaporkan meninggal dunia di hospital.

Mereka yang maut itu kebanyakannya dari Honduras.

Pihak berkuasa AS sebelum ini berjaya menghalang kira-kira enam juta migran di sempadan selatannya sejak Presiden Joe Biden memegang jawatan pada Januari 2021, kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Alejandro Mayorkas, kelmarin.

Beliau berkata sejak Mei, pihak berkuasa sudah mengeluarkan dan mengembalikan lebih 350,000 pendatang yang tidak memenuhi kriteria untuk tinggal di negara itu.

Isu kemasukan individu secara haram itu menjadi beban kepada politik Biden apabila parti Republikan menuduhnya melakukan dasar sempadan yang longgar.

Biden meminta Kongres tambahan AS$13.6 bilion (RM63.70 bilion) bagi mengukuhkan sempadan dengan Mexico serta mengupah ejen imigresen, peguam dan pegawai suaka. - AFP

Tiada ulasan: