"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penguat kuasa ditahan minta habuan seks

Bernama
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi tujuan reman pagi tadi. (Gambar SPRM Putrajaya)
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang anggota agensi penguat kuasa di negeri ini kerana disyaki meminta habuan dalam bentuk seks.

Menurut sumber, lelaki berkenaan yang ditahan malam tadi, dipercayai meminta habuan itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas seorang wanita gagal melaporkan diri disebabkan kesalahan dadah.

Sumber berkata, lelaki 40-an itu ditahan ketika bersama wanita dalam lingkungan 20-an dalam satu operasi khas di sebuah hotel di Johor Bahru kira-kira 7.30 malam tadi.

Katanya, wanita itu dipercayai gagal melaporkan diri secara bulanan kepada agensi penguat kuasa berkenaan dan bagi mengelakkan diambil tindakan, lelaki berkenaan dipercayai meminta habuan seks.

“Wanita tersebut pernah ditahan kerana kesalahan dadah dan sedang menjalani tempoh pengawasan dua tahun di sebuah agensi penguat kuasa di Johor Bahru,” kata sumber.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi tujuan reman pagi tadi dan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Chai Ing Hien, mengeluarkan perintah reman empat hari bermula hari ini sehingga 13 Nov terhadap suspek.

Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Azmi Kamaruzaman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Tiada ulasan: