"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS dukacita, tak tolak ‘elemen rasuah’ wakil PN sokong Anwar

Faiz Zainudin
 
Ahli Parlimen PN yang menyokong Anwar Ibrahim adalah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).
PETALING JAYA: PAS dukacita dengan tindakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim termasuk dua dari Kelantan yang menang bertanding menggunakan lambang bulan pada PRU15 lalu.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan itu menunjukkan akta lompat parti yang diluluskan di Dewan Rakyat “tiada sebarang makna”.

“Sebagai pimpinan PAS saya ingin menyatakan rasa dukacita dengan apa berlaku kerana negeri menyediakan peruntukan kepada semua Parlimen PAS (di Kelantan) walaupun jumlahnya tidak besar.

“Nampaknya akta lompat parti tidak mempunyai makna bila Ahli Parlimen boleh menyatakan sokongan kepada pihak kerajaan,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian kepada FMT.

Tuan Ibrahim tidak menolak wujud “elemen rasuah” oleh pihak tertentu selepas Ahli Parlimen pembangkang secara terbuka menyatakan sokongan kepada perdana menteri sedangkan setiap peruntukan kepada wakil rakyat menang pilihan raya wajib diberikan tanpa perlu merayu atau “diugut”.

“Saya melihat adanya elemen rasuah dalam pernyataan sokongan ini demi tawaran peruntukan. Sedangkan ia merupakan peruntukan yang wajib diberi bukan dengan menjadikannya sebagai modal ugutan dan tekanan kepada Ahli Parlimen,” dakwanya.

Sehingga kini empat Ahli Parlimen PN daripada Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar dengan alasan tidak mahu rakyat di kawasan mereka terbeban dengan sekatan peruntukan Putrajaya.

Mereka adalah Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman dan terbaru Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim serta Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik.

Iskandar dan Suhaili sudah dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu yang menggantung keahlian mereka masing empat dan enam tahun.

Pada PRU lalu, Azizi dan Zahari masing-masing memenangi kerusi Gua Musang serta Jeli menggunakan logo PAS selepas PN memutuskan Kelantan dan Terengganu bertanding melalui lambang bulan.

Tiada ulasan: