"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi: Ada broker di sebalik tindakan wakil rakyat PN sokong Anwar

Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my

ALOR SETAR: Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa ada dalang menjadi broker politik sehingga beberapa Ahli Parlimen BERSATU bertindak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mendakwa, antara tindakan broker itu memerangkap Ahli Parlimen PN yang terdesak mendapatkan peruntukan bagi kawasan masing-masing sehingga terpaksa menyokong Anwar untuk terus berkuasa.

Katanya, menjadi tugas broker berkenaan mendekati wakil rakyat yang disasarkan dan menawarkan habuan supaya mereka beralih sokongan.

"Saya rasa punca utama ialah tidak wujud peruntukan untuk berkhidmat di kawasan masing-masing, itu saja. Mungkin itu cara mereka untuk memerangkap Ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong Perdana Menteri.

"Adakan teknik potong bekalan air, bekalan elektrik, bekalan ubat-ubatan, mengebom hospital. Ini dilakukan supaya rakyat di Gaza, Palestin menyerah diri, itu saja.

"Ini strategi yang sama, kalau saya sebut keras sangat, tapi itulah caranya. Kenakan sekatan supaya mereka berputus asa, ada tiga daripada mereka (Ahli Parlimen PN) yang menyerah diri, terperangkap dengan strategi sama," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim semalam, yang mengumumkan memberi sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri.

Mohd Azizi, wakil rakyat ketiga daripada BERSATU selepas dari Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang berbuat demikian.

Terdahulu, Sanusi mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, broker politik bukan sekadar tuduhan melulu sebaliknya pernah berlaku ketika era pemerintahan PAS sebagai kerajaan negeri di Kedah bawah pimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

"Saya sendiri alami pada tahun 2008, saya melepasinya tanpa sebarang bayaran. Ketika itu saya 'jaga' wakil rakyat (PKR) yang didekati, lompat dua tinggal tiga, selepas didatangi broker politik.

"Akan ada cubaan, dugaan dan cabaran dicekik, kena jadi 'Rambo'. Ada sepanjang hayat broker ini, saya biasa hadapi dan berjaya lepasi tanpa dibayar.

"Itu antara proses broker politik buat kerja, saya hadapinya dengan tenang dan alhamdulillah kerajaan PAS ketika itu tidak terbalik. Itulah pengalaman saya berdepan broker politik," katanya.

Tiada ulasan: