"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perompak bersenjata larikan barang kemas RM1.4 juta

FMT Reporters
Tangkap layar video tular menunjukkan suspek berpakaian serba hitam melarikan beberapa beg dari kereta mangsa.
PETALING JAYA: Sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan tukul melarikan barangan kemas RM1.4 juta dalam kejadian di kawasan letak kereta di pekan Kuala Kangsar.

Ketua Polis Kuala Kangsar, Omar Bakhtiar Yaacob, berkata kejadian berlaku ketika dua jurujual syarikat emas berusia lingkungan lewat 30-an itu baru sahaja keluar dari kereta selepas meletakkan kenderaan di petak parkir, pada 11.22 pagi.

Katanya, beberapa lelaki yang memakai sarung muka menyerbu mangsa dan bertindak agresif dengan memecahkan cermin kereta bagi mendapatkan barang kemas dalam kenderaan berkenaan.

“Kejadian berlaku ketika mangsa mahu menghantar barang kemas ke kedai sebelum cermin kereta dinaiki mereka dipecahkan suspek bagi mendapatkan barang kemas bernilai RM1.4 juta.

“Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata, usaha mengesan semua suspek dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.

Katanya, orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Kangsar, Mohd Subkey Alias di talian 013 9285436 atau 05 7762222.

Terdahulu tular di media sosial X, satu rakaman video berdurasi 21 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki berpakaian serba hitam dan sarung muka melarikan beberapa beg mengandungi barang kemas dari kereta mangsa.

Video yang dirakam oleh orang awam itu menunjukkan suspek melarikan diri menggunakan dua kenderaan.

Tiada ulasan: