"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

YB Amirah Aishah pangku jawatan Presiden Muda

HarapanDaily.com

Berkuat kuasa serta-merta, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini mengumumkan mengosongkan jawatan Presiden Muda.

Menurutnya, ia bagi membolehkan beliau membersihkan nama daripada sabitan hukuman oleh mahkamah yang dihadapi.

“Selepas berbincang, kami (pimpinan Muda) membuat keputusan bahawa saya akan mengosongkan jawatan sebagai Presiden Muda serta-merta sementara saya membersihkan nama melalui proses mahkamah.

“Jadi, jawatan Presiden akan dipangku Timbalan Presiden Muda, Amirah Aishah,” katanya pada sidang media petang ini.

Dia yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun itu juga memaklumkan tidak akan terbabit dalam politik Muda sepanjang tempoh berdepan kes di mahkamah.

Hari ini, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid turut mengenakan hukuman dua kali sebatan serta didenda RM10 juta selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana Armada Bersatu.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan juga dipenjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat pecah amanah wang Armada berjumlah RM1 juta.

Bagi kesalahan salah guna wang RM120,000 pula, dia diperintahkan dihukum penjara dua tahun dan juga satu sebatan.

Beliau turut diperintahkan menjalani hukuman penjara lima tahun dan denda RM5 juta dan tambahan dua tahun penjara jika gagal bayar denda, bagi satu tuduhan pertama pengubahan wang haram.

Sementara itu, bagi tuduhan kedua pengubahan wang haram, dia perlu menjalani hukuman penjara selama dua tahun dan didenda RM5 juta serta tambahan dua tahun penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Hakim memerintahkan supaya kedua-dua hukuman penjara bagi kesalahan pengubahan wang haram terbabit, supaya berjalan secara serentak.

Azhar juga membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda serta sebatan sementara rayuan dikemukakan di Mahkamah Rayuan dan mengarahkan syarat jaminan dikekalkan.

Tiada ulasan: