"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Taktik tanam dadah dalam kandang kambing gagal

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my
HUSSEIN (kiri) menunjukkan dadah dan barang kes lain yang dirampas pada serbuan 2 dan 3 November di Bandar Puncak Alam dan Kapar, Selangor. FOTO Faiz Anuar.
HUSSEIN (kiri) menunjukkan dadah dan barang kes lain yang dirampas pada serbuan 2 dan 3 November di Bandar Puncak Alam dan Kapar, Selangor. FOTO Faiz Anuar.
Shah Alam: Taktik baharu tanam dadah di kandang kambing bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, akhirnya terbongkar selepas lokasi yang terletak di Kapar itu diserbu polis, minggu lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan berkata, dalam dua serbuan berasingan pada 2 dan 3 November itu, pihaknya menemukan dadah termasuk yang ditanam di kandang itu, dianggarkan bernilai RM10.39 juta.

Katanya, 10 lelaki tempatan berumur antara 18 hingga 44 tahun turut ditahan menerusi operasi bersama Bukit Aman bagi menumpaskan sindiket pengedaran heroin dan methamphetamine.

"Serbuan pertama pada 11.25 pagi, 2 November, polis menangkap seorang lelaki di tepi jalan di perumahan Bandar Puncak Alam dan merampas 241 bungkusan plastik mengandungi dadah methamphetamine dianggarkan 250.78 kilogram (kg).

"Susulan tangkapan itu, polis menahan tiga lagi suspek di sebuah restoran di Pusat Perdagangan Puncak Alam Jaya serta merampas dadah jenis sama dengan anggaran 9.369kg yang ditemui dalam kenderaan suspek.

"Siasatan mendapati, keempat-empat suspek bekerja sebagai pengurus kelapa sawit, peniaga pakaian terpakai (bundle) dan penganggur, manakala seorang daripada mereka mempunyai tiga rekod lampau berkait dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Bagi kes kedua, Hussein berkata, polis berjaya menahan enam suspek yang sedang berkumpul di tempat rehat bersebelahan kandang kambing di Kapar, serta menjumpai 44 peket plastik lutsinar berisi heroin anggaran 62 gram.

"Susulan tangkapan itu, suspek memandu arah ke kandang kambing dan menunjukkan dadah yang ditanam dalam empat lubang di kandang itu.

"Polis menjumpai 109 peket plastik lutsinar heroin (49.463kg), lapan peket plastik lutsinar methamphetamine (1.617kg), 41 ketulan mampat mengandungi serbuk warna putih dibalut plastik lutsinar dan kertas warna kuning berisi heroin base (15.498kg).

"Empat suspek bekerja di kandang kambing itu, manakala dua lagi bekerja sebagai buruh. Semakan mendapati lima suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan dadah dan jenayah, sementara ujian saringan air kencing menunjukkan empat orang positif dadah," katanya.

Hussein berkata, keseluruhan 15.498kg heroin base; 49.525kg heroin dan 261.766kg methamphetamine bernilai RM10.39 juta dirampas, yang dipercayai untuk pasaran tempatan.

Selain itu, polis turut menyita empat kenderaan jenis Toyota Vellfire, Honda Stream dan dua Honda City serta akaun bank mempunyai simpanan RM269,229.

"Kesemua suspek direman tujuh hari mulai 3 dan 4 November. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tiada ulasan: