"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mohd Puad Zarkashi: Mahathir lebih relevan berbanding Mahiaddin

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 

Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat lebih relevan berbanding Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, Mahathir dilihat lebih relevan kerana ahli politik berusia 98 tahun itu dilantik menjadi penasihat empat negeri bawah Pas (SG4).

“Muhyiddin kecewa dan terpinggir. Ramai yakin kenyataan Razali Idris, Ketua Penerangan Bersatu agar Muhyiddin dan Najib bekerjasama adalah arahan Muhyiddin.

“Dia rasa terdesak. Dia mahu dirinya dilihat kekal relevan. Apa pun, Muhyiddin tidak perlu main wayang.

“Jangan bermimpi untuk bekerjasama dengan Najib. Semua orang tahu dia tidak ikhlas dan jujur. Memang Muhyiddin sudah tidak relevan,” tulisnya di Facebook beliau hari ini.

Untuk rekod, Tun Dr Mahathir pernah mentadbir negara sebanyak dua kali iaitu sebagai Perdana Menteri keempat dan ketujuh.

Beliau menggalas jawatan Perdana Menteri keempat dari 1981 hingga 2003, manakala menjadi Perdana Menteri ketujuh dari 2018 hingga 2020.

Dalam perjalanan politik Mahiaddin pula, beliau juga pernah memegang jawatan sama dengan Mahathir iaitu sebagai Perdana Menteri kelapan dari 2020 hingga 2021.

Hari ini FMT melaporkan, pemimpin UMNO menolak kemungkinan Najib dan Mahiaddin akan bekerjasama semula disebabkan permusuhan panjang antara mereka.

Menurut dua pemimpin yang enggan dinamakan itu, orang ramai tidak patut percaya cakap-cakap berhubung kemungkinan kedua-duanya bekerjasama semula.

Seorang pemimpin menyifatkan ia sekadar cubaan Bersatu untuk meningkatkan kelayakannya.

“Kekuatan mereka semakin merosot kerana lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu berikrar menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka takut Pas hilang kepercayaan kepada mereka.

Mungkin mereka percaya dengan menggembar-gemburkan kemungkinan Mahiaddin dan Najib bekerjasama semula, mereka boleh memastikan Pas kekal dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Pada 4 November lalu, penyokong Najib atau dikenali sebagai ‘Bossku’ meletakkan harapan agar bekas Perdana Menteri itu dan Mahiaddin membuka lembaran baharu, dan bergerak bersama demi negara serta rakyat.

Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berpandangan, Malaysia akan lebih hebat jika dua bekas pemimpin nombor satu negara itu, bersatu ketika rakyat sedang berdepan masalah ekonomi dan kos sara hidup.

Beliau menyuarakan perkara itu selepas Mahiaddin, yang juga Pengerusi PN mendoakan kesembuhan Najib yang kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat Covid-19.

Tiada ulasan: