"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mohd Amar ‘bersuara’ selepas 4 MP Bersatu sokong Anwar

HARAPAN DAILY 

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilihat ‘bersuara’ selepas empat Ahli Parlimen dari Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, Yang Dipertua DUN Kelantan berkenaan sekadar berperibahasa walaupun menonjolkan merah yang merupakan warna lambang Bersatu sebagai latar belakang bagi hantaran di Facebook rasminya.

“Gunting dalam lipatan lebih berbahaya dari pedang yang terhunus,” katanya ringkas.

Sokongan kepada Perdana Menteri bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu.

Keputusan sama diikuti Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) pada 30 Oktober lalu, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli), semalam.

Rata-rata warganet mengaitkan hantaran Mohd Amar itu dengan tindakan empat wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu yang menyokong dasar-dasar dan inisiatif Kerajaan Madani.

Malah, ada yang secara sinis mengingatkan Pas juga dari segi muafakat politik pernah bersikap seperti gunting dalam lipatan.

“Untung bunga raya (Bersatu) lepas menang kalih (sokongan), kawan masa kempen saja.

“Kita buat orang, orang pun boleh buat kita. Semoga tabah,” demikian antara komentar netizen.

Keputusan keempat-empat ahli Parlimen terbabit menyokong kepimpinan Perdana Menteri dilihat memberi tamparan kepada Bersatu dan Pas.

Malah, Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin mendakwa menerima maklumat terdapat gerakan terancang bagi melemahkan parti itu dan PN melalui sogokan serta ugutan terhadap ahli Parlimen gabungan tersebut.

Menurutnya, Bersatu tidak akan tunduk dan tindakan yang lebih tegas akan diambil terhadap mereka terbabit.

Tiada ulasan: